Malaysia jadi bingung seperti sekarang sebab kita ada tiga krisis yang berlaku serentak; kesihatan, ekonomi, dan politik.
Untuk landaikan lengkuk Covid-19, cara yang ampuh ialah buat total lockdown macam PKP 1.0 dulu. Semua orang duduk rumah. Tapi kerajaan tidak sanggup sebab akan membarahkan lagi krisis ekonomi.
Kerajaan kena cari cash nak bubuh dalam poket rakyat, kena hadap bank nak buat moratorium, ekonomi menguncup, bisnes lingkup, dan nak hidupkan semula ekonomi adalah satu cabaran yang besar. Impak jika tutup sektor ekonomi sepenuhnya tidak dapat diserap oleh kerajaan.
Jadi, kerajaan terpaksa leverage sektor ekonomi dengan jadual vaksin. Atau sebenarnya tengah berlumba. Sama-sama berlari lepas itu harap-harap vaksin dapat pintas dan akhirnya menang over sektor ekonomi, tapi dengan syarat perlumbaan ni masih dalam track ‘kemampuan hospital dan ICU’ untuk rawat jangkitan Covid-19.
Bekalan vaksin pula ada masalah berantai; lambat lulus, lambat PO, lambat sampai, lambat cucuk. Saya tiada nak menghakimi NPRA sebab saya yakin mereka ada prosedur yang ketat untuk luluskan vaksin.
Kerajaan berhadapan dengan deadlock ekonomi vs kesihatan bila bekalan vaksin tertangguh. Hal ini disahkan oleh twit DG yang kata lockdown ini untuk nak beli masa saja bukan untuk lawan pandemik.
Nak buat total lockdown ekonomi ranap, bila buka sekerat sekerat maka dapatlah kes 5,000 sehari walaupun dah nak masuk sebulan buat total lockdown versi Azmin.
Sambil-sambil sektor ekonomi dan kadar vaksin tengah berlumba, kita ada krisis politik.
Krisis politik ini bunyi macam umum sangat.
Sebenarnya lebih tepat ialah kita ada krisis kepemimpinan (yang tiada guts sampaikan takut nak berhadapan dengan wartawan dan pancing sokongan dengan sogokan dan ancaman), krisis keabsahan kerajaan (berselindung di sebalik Ordinan Darurat), dan krisis Perlembagaan (seperti kata Dr Aziz Bari).
Deadlock politik yang kita sedang alami sekarang tidak lain tidak bukan berpunca dari Langkah Sheraton (pakatan politik separuh masak) dan game yang dimainkan oleh Mahathir untuk kekal berkuasa. Deadlock ini menyebabkan kerajaan PN jadi tidak kukuh dan mengalami trust deficit.
Untuk lebih jelas apa yang berlaku cuba kita buat breakdown sikit:
PPBM & Azmin:
Tiada akar umbi, tidak bersedia nak masuk PRU, rakyat muak dan benci, tiada pelapis kepimpinan, banyak rangka dalam almari, tidak dapat tidak kena dominan dalam kerajaan kalau tak nak tamat riwayat politik, banyak gali lubang baru untuk kambus lubang lama, menteri tak perform. Cuba untuk tekan Umno bagi menaikkan Bersatu, tapi tak nampak jalan.
GPS:
Lebih senang laverage kepentingan negeri melalui PN yang tengah terdesak. Dah bakar jambatan dengan DAP (PH).
Pejuang:
Menteri tidak luluskan pendaftaran, tiada akar umbi, bergantung kepada Mahathir sahaja. Tak nak semua orang jadi PM (Anwar dan Muhyiddin) kecuali Mahathir atau Mukhriz sahaja, dan Shafie Apdal sebagai pilihan terakhir.
Warisan:
Tak tau nak makan belah mana. Nak sertai PN tak nampak jalan, dengan PH jual mahal, dan nampak cenderung nak buat blok dengan Pejuang untuk laverage apa-apa tuntutan politik. PRN Sabah memberi indikator populariti Warisan merudum.
Umno:
Paling kurang pecah tiga –
1. Team Zahid yang ada laverage MT. Dalam team ni ada kluster mahkamah, yang tidak diberi tempat oleh Muhyiddin dalam kerajaan. Team Zahid tolak kerjasama dengan Bersatu dan berjaya jadikan resolusi PAU.
Zahid dikatakan ada deal dengan Anwar untuk jatuhkan PN dan bentuk kerajaan baru dengan PH. Tapi ada team kedua dan ketiga yang tak boleh nak terima hakikat berketuakan Anwar. Mereka yang percaya autoriti MT dan parti lebih tinggi dari kepentingan individu, akan menyebelahi team ni.
2. Team kluster menteri diketuai Hishammuddin yang mesra PN. Depa ni tak yakin dengan kepemimpinan Zahid sebab Zahid adalah liabiliti kepada Umno. Old school, leadership lemah, tiada karisma, ada kes mahkamah dan boleh diugut oleh sesiapa saja.
Mereka sama ada reda Muhyiddin jadi PM dan Azmin TPM, atau buat gerakan senyap-senyap untuk jolok Hishammuddin jadi PM. Dasar depa ialah no Anwar no DAP (tapi yes Bersatu yang dah ditolak dalam PAU). Nazri kata mereka dah kumpul 25 MP, tapi mandat depa ni bukan dari MT Umno. Ini kita panggil jemaah dalam jemaah.
SD dari MP Umno yang tolak Zahid ini hanya membuktikan bahawa tiada lagi sokongan en block Umno kepada Muhyiddin, dan mengesahkan kerajaan Muhyiddin sekarang ni dah takde majoriti dan tak absah.
3. Team Ku Li.
Team ni tak tahulah siapa pengikutnya, tapi kita boleh katakan ini team paling sembang berapi tapi habuk pun tarak. Kata nak tarik sokonganlah, buat PC dengan Mahathirlah, alih-alih masuk Parlimen tidak mengundi dan biarkan Mahathir terkontang-kanting.
Kewujudan team kedua dalam Umno telah mendesak untuk Umno segerakan pemilihan parti. Kita kena ingat yang Zahid menang (78 undi) sebab taktikal KJ (53 undi) masuk last minit dan menyebabkan Ku Li cuma dapat 28 undi.
Maksudnya, masa itu Zahid dapat undi tidak sampai separuh dan menang sebab pecah undi. Jadi kalau boleh team Zahid mestilah tak nak buat pemilihan sebelum PRU, sebab ia akan menggugat kedudukan Zahid yang sekarang ada autoriti untuk sign watikah calon.
Team Hishammuddin dah all out dan kalau takde perdamaian, berisiko untuk dibuang dari senarai calon. Masa itu Umno mungkin akan lagi teruk berpecah.
Masalah dalam BN pula, MCA dan MIC tak suka Umno jadi besar kepala, buat keputusan unilateral untuk keluar PN dan bergabung dengan PH. MCA pulak tak mungkin bergabung dengan DAP melalui PHplus.
Pas:
Cuba nak jadi orang tengah antara PPBM dan Umbo, tapi nampaknya lebih selesa dengan Bersatu sebab Pas akan menyondol siapa saja yang tengah berkuasa. Dulu nak ke Mahathir, sekarang Gagasan Sejahtera entah ke mana, Muafakat Nasional pun terkubur di Janda Baik.
Pas tahu bila dia jadi kerajaan, semua slogan dan modal-modal ceramah terpaksa dicampak ke laut. Jadi, Pas akan terus prehhh isu-isu agama dan perkauman, dan pulas segala dalil untuk menghalalkan keputusan politik dia. Bayangkan raja bekam pun dah cemuih dan mufaraqah dari politk Pas.
PH (PKR-DAP-AMANAH):
Buat masa ini PH masih intact. Dulu bila nak reclaim mandat PRU-14, AMANAH dan DAP macam tergila-gila sangat dengan team Mahathir. Tapi lepas Mahathir nak buat Mageran ni tak tahulah ada lagi ke tak yang gila talak, kalau ada pun mungkin di peringkat individu.
Adalah 3-4 orang yang melompat sebab ada bangkai dalam almari, yang ni tak boleh buat apa sebab PN-Muhyiddin ada upper hand. PH stuck dengan Anwar PM-9 yang ramai musuh politik sejak zaman berzaman, DAP pun banyak musuh semulajadi, AMANAH pula saya tidak tahu nak komen macam mana.
AMANAH dan DAP masih cuba nak tarik Pejuang dan Warisan (tak tahulah dah berhenti ke belum), dalam masa yang sama tak boleh terima strategi PKR nak buat ally dengan Umno.
Kesimpulan yang tak tersimpul
Untuk menghadapi krisis negara yang teruk macam sekarang, memang kita perlukan sebuah kerajaan yang kukuh dan stabil, yang dipilih oleh majoriti rakyat, bukan kerajaan tebuk atap atau #KerajaanGagal.
Supaya kita boleh kembalikan public trust kepada kerajaan, dan dari situ barulah dasar dan arahan kerajaan jadi lebih berkesan.
Tapi itulah, YDPA dan Majlis Raja-Raja dah cuba bagi direction hari tu, kita berserabut pulak dengan tafsiran Perlembagaan. Inilah yang disebut oleh Dr Aziz Bari sebagai krisis Perlembagaan, sebab terbuka kepada banyak tafsiran yang berasas tapi akhirnya tafsiran yang autoritatif akan dilihat menyebelahi pihak yang berkuasa.
Krisis ini akan jadi lagi parah pada 1 Ogos nanti, kalau tiba-tiba Kabinet menasihati YDPA untuk sambung perintah Darurat sebagaimana Kabinet juga boleh menasihat YDPA bila sepatutnya Parlimen bersidang.
Kalau hal ini terjadi, Agong nak buat apa? Peguam Negara dah buat kenyataan semalam yang proses ini adalah berperlembagaan di bawah Perkara 40(1) — walaupun tak selari pulak dengan Seksyen 2 Ordinan Darurat.
Deadlock antara parti-parti politik ini saya rasa menjadi faktor utama kenapa kita tidak akan dapat kerajaan yang stabil dalam masa terdekat, meskipun kalau terbentuk kerajaan perpaduan versi PH.
Kecuali back to square one iaitu PRU. Apa nak jadi lepas PRU-15 boleh bincang kemudian sebab masa itu apa yang ada atas meja setiap parti mungkin berbeza dengan pasca PRU-14.