Langit politik tidak selalu cerah, AMANAH perlukan posisi yang betul

Oleh ARIF ATAN

AMANAH sebagai sebuah parti politik bersifat nasional (bagaimana pun ada pihak yang melihat AMANAH mempunyai sifat keantarabangsaan – sekadar satu pandangan) seharusnya lebih fokus dan tuntas dalam menentukan hayat politik bagi merealisasi kewujudannya.

Meskipun AMANAH telah berjaya memperlihatkan keupayaan untuk bersaing dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14), namun ini tidak bermakna AMANAH akan berada pada situasi atau pada kedudukan yang sama pada PRU-15. Untung sabut timbul, untung batu tenggelam.

Apa yang pasti, PRU-15 adalah pilihan raya umum yang cukup getir untuk AMANAH. Selagi AMANAH tidak dapat mengkonsepsikan diri berdasarkan kompas yang betul serta terikat dengan keterujaan politik perjuangan menempatkan individu tertentu ke jawatan Perdana Menteri, tanpa melihat jawatan Perdana Menteri dalam konteks gambaran yang besar (the big picture), selagi itulah AMANAH berada dalam gagapan politik.

Sememangnya berdasarkan matlamat penubuhannya, AMANAH berkecenderungan mempunyai aspirasi perjuangan yang besar, bahkan sepatutnya juga AMANAH mampu untuk meletakkan pengaruh ke atas politik dinamisme antarabangsa, khususnya dalam mendeskripsi gerakan Islam dunia. AMANAH sewajarnya dapat membebaskan diri daripada politik Islam tradisionalistik sektoran.

AMANAH wajar menjadi parti yang membina rentak, bukan menjadi “pengakur rentak” yang dicipta oleh pihak lain.

AMANAH perlu memperkasa dirinya dalam realiti “gergasi politik,” mempunyai kebebasan bertindak serta berupaya untuk melepaskan diri daripada dibayangi oleh gerakan “politik individualistik” kumpulan tertentu yang berkecenderungan untuk memenuhi hasrat dan kepentingan pribadi.

Kumpulan terbabit melanggar prinsip kerjasama politik sesama rakan politik, bahkan boleh pula bertindak dalam kerangka praktis politik peribadi dengan membelakangkan semangat perjuangan bersama sebagai satu pasukan.

Kumpulan ini adakalanya terserlah akan keegoaan dan kemegahan dengan gaya “abang besar” untuk membina empayar kuasa sehingga berkecenderungan untuk menguasai rakan sepasukan, kadang-kadang sangup bertindak dengan cara “cah keting.” Asalkan kepentingan politik peribadi dapat nikmati, meski pun menggadai maruah diri.

AMANAH perlu wujud dan bertarung dalam konteks dirinya dengan identiti serta falsafah politiknya sendiri. AMANAH tidak seharusnya menjadikan dirinya sebagai pemikul beban liabiliti yang dilakukan oleh pihak-pihak tertentu dalam usaha mereka untuk mencapai matlamat peribadi. AMANAH tidak sebarusnya membiarkan dirinya dijadikan “batu loncatan” untuk menjayakan kehendak peribadi individu lain.

AMANAH harus mampu membebaskan diri daripada diheret secara bersama untuk memperakui kegagalan yang disumbang oleh pihak lain atas kepentingan politik peribadi, walhal kegagalan tersebut tidak ada kena mengena dengan tindakan yang dilakukan oleh kepimpinan AMANAH, sebaliknya AMANAH dilibatkan sama untuk mengambil tanggungjawab mendukung kegagalan tersebut. Satu tindakan yang bersifat mementingkan diri sendiri, politik memangsakan kawan.

AMANAH harus mampu membebaskan diri daripada diheret secara bersama untuk memperakui kegagalan yang disumbang oleh pihak lain atas kepentingan politik peribadi.

Pimpinan AMANAH perlu bertindak secara strategik untuk melepaskan diri daripada perangkap politik “telunjuk lurus kelingking berkait.” AMANAH sewajarnya menjadi parti yang membina rentak, bukan menjadi “pengakur rentak” yang dicipta oleh pihak lain, sehingga menampakkan kecanggungan dan kekeliruan untuk bertindak. Hakikatnya, tingkah laku politik dalam kalangan ahli-ahli politik akan berubah, tertakluk kepada perubahan landskap persekitaran politik.

Hakikatnya, politik Malaysia adalah politik merentasi sempadan bangsa dan agama, tidak ada satu parti politik tunggal yang boleh hidup dan berpengaruh tanpa adanya kerjasama dengan pihak atau kumpulan politik lain.

Memainkan sentimen politik perkauman dan keagamaan, realitinya merupakan satu pengkhianatan terhadap Perlembagaan negara. Ini adalah fakta yang tidak boleh dinafikan dan dipersoalkan, hakikat yang sedia dimaklumi dan diketahui oleh semua pihak yang rasional dalam mentafsir sifir politik Malaysia.

Kerangka politik demokrasi Malaysia tidak berkecenderungan untuk membangun pemikiran politik bersifat kepentingan kelompok secara bersendirian, mahu pun melebarkan politik perkauman dan adu domba agama.

Politik Malaysia adalah politik yang dibentuk berdasarkan realiti demografi dan komposisi penduduk. Berdasarkan situasi ini, AMANAH sewajibnya membentuk pola organisasi yang benar-benar menggambarkan realiti glokal (global dan lokal).

Namun, ini tidak bermakna AMANAH harus menjadi parti politik yang tunduk kepada kepentingan dan pengaruh pihak lain, yang pada akhirnya mendedahkan seolah-olah AMANAH menjadi bayangan percaturan atas hasrat politik pihak lain. AMANAH sepatutnya beraksi atas kapasiti penentu realiti politik.

Para pemimpin AMANAH tidak perlu terlalu “laju dan pantas” untuk memberikan tindak balas berkaitan dengan sesuatu kenyataan politik yang dikeluarkan, terutamanya daripada kalangan pihak yang mempunyai kepentingan politik peribadi.

Harus difahami bahawa tindakan politik dan keputusan politik, hakikatnya sesuatu yang sukar untuk diramal, atas sifat politik sebagai unsur yang dinamik, terbuka dan tertakluk kepada perubahan iklim persekitaran.

Harus diingat penubuhan AMANAH adalah atas reaksi memasungkan politik hipokrit yang memperalatkan agama, meskipun perlu berbohong untuk mencapai matlamat politik.

AMANAH tentunya perlu membebaskan diri daripada unsur “pembohongan terhadap agama,” menjadikan agama untuk memukau ketaatan dan ketundukan terhadap parti dan pemimpin, memutlakkan rangkaian keputusan pemimpin tanpa adanya analisis kritis dan kritikal berdasarkan nilai keilmuan yang jelas.

Kepimpinan AMANAH seharusnya diperkuatkan dengan kekuatan intelektual, menajamkan kebebasan berhujah berdasarkan pemikiran saintifik, menyuburkan ilmu dan berlandaskan fakta serta data yang benar-benar teruji dan diuji. Tindakan-tindakan yang dilakukan oleh ahli-ahli parti tidak seharusnya terdorong di atas pertimbangan kepentingan peribadi tanpa ditelusuri aspek nilai moral dan etika.

Kepimpinan AMANAH seharusnya dapat menutup ruang yang membolehkan ahli-ahli parti khususnya dalam kalangan mereka yang terpilih sebagai “wakil rakyat” lari meninggalkan parti dengan menyertai parti rakan, atas apa pun alasan.

Tindakan sebegini jelas memggambarkan wujudnya kerosakan moral dan kesenjangan pemikiran, realiti inilah yang menjadi punca keruntuhan “jiwa” dalam konteks perkongsian hasrat bersama anggota parti.

Kemunculan AMANAH pada hakikatnya telah mencetuskan situasi yang agak signifikan berkait dengan kerangka kerjasama politik dalam kalangan parti-parti politik yang berkongsi objektif, matlamat dan idealisme yang sama, khususnya dalam aspek memperjuangkan integriti politik dan menolak sebarang bentuk penyelewengan dan korupsi. Membina perubahan politik ke arah tradisi politik yang berteraskan kedaulatan undang-undang.

Keadaan ini telah mewujudkan ruang terbuka untuk membolehkan AMANAH membentuk kerjasama politik bersama dengan PKR, DAP dan juga Bersatu, bergerak mendepani PRU-14 secara bersama, biar pun terpaksa menyertai pilihan raya umum dengan segala kekurangan dalam aspek logistik dan kelemahan sturktur untuk berdepan dengan Barisan Nasional (BN).

Ternyata bentuk kerjasama politik yang diwujudkan telah terbukti mendapat perhatian dan sokongan rakyat, sehingga berjaya menjadi gabungan politik yang berjaya membentuk kerajaan atas nama Pakatan Harapan (PH), sebelum dimusnahkan melalui Langkah Sheraton.

Berdasarkan hakikat ini, AMANAH perlu lebih kreatif dalam melihat kedudukan masa depan politiknya, paling tidak AMANAH harus berani menganalisis kedudukan masa depan politik, berdasarkan senario kemungkinan situasi terbaik dan situasi terburuk dalam atur langkah politiknya.

AMANAH sewajarnya lebih kental dan kukuh dalam merangka pemetaan strategi politik masa depan. AMANAH perlu melihat kewujudannya dalam konteks pendominasian politik, bukan setakat menjadi rakan gabungan politik, mahu pun rakan kerjasama politik, AMANAH dalam apa situasi pun harus menjadi pembentuk dan pentafsir politik dalam kancah landskap politik negara.

Keadaan ini adalah untuk membolehkan AMANAH lebih proaktif bertindak balas terhadap kemungkinan perubahan politik yang bakal berlaku, semestinya akan berlaku.

Sehubungan itu, terdapat beberapa senario yang perlu dianalisis oleh kepimpinan AMANAH bagi memperkukuh perjuangan dan jati diri parti.

Senario 1: AMANAH terus kukuh sebagai salah satu gabungan politik, mempunyai status yang dianggap penting dan berpengaruh serta mempunyai impak yang tinggi dalam pembentukan politik negara.

Senario 2: AMANAH menjadi sekutu penting dalam gabungan PH, bertindak sebagai parti politik yang menjadi pengimbang kepada rundingan antara parti-parti komponen dalam PH.

Senario 3: AMANAH terus dapat memperkukuh serta memperluaskan pengaruh dalam masyarakat sehingga menjadi parti yang relevan dan dikenali umum.

Senario 4: AMANAH mempunyai kelebihan serta berupaya untuk memenangi kerusi yang diperuntukkan dalam PRU-15.

Senario 5: AMANAH tidak lagi dipeduli oleh rakan-rakan dalam gabungan PH. Kehadiran AMANAH tidak lagi dilihat penting dalam menentukan landskap politik. AMANAH tersisih dalam percaturan politik PH.

Senario 6: AMANAH terpaksa bergerak sendirian dalam persaingan politik negara, bergerak dalam keadaan jentera, struktur dan modal yang terhad untuk berdepan dengan lawan dalam PRU-15.

Senario 7: AMANAH berdepan dengan keputusan terburuk dalam PRU-15, kerusi yang dimenangi dalam PRU-14 gagal dipertahankan, menjadi parti politik yang terpinggir daripada perhatian massa.

Senario 8: Ahli-ahli AMANAH telah hilang kepercayaan terhadap kepimpinan parti, bermula gerakan keluar parti secara besar-besaran dalam kalangan ahli parti. Pengaruh AMANAH dalam politik nasional sudah tidak lagi menjadi perhatian umum.

AMANAH perlu sentiasa mengawasi akan kedudukannya dalam kerangka hubungan dengan rakan-rakan gabungan politik.

Politik Malaysia, atau mana-mana proses politik demokrasi agak sukar untuk diramal akan pola perubahan yang berlaku. Demokrasi pada hakikatnya faktor penentunya adalah rakyat.

Sungguh pun begitu, dalam realiti politik Malaysia mutakhir ini, perubahan politik pada dasarnya banyak dipengaruhi oleh elit politik, tingkah laku dan nafsu elit politik dalam kebanyakan kes menjadi pencatur mutlak dalam persaingan kuasa pemerintahan.

Apa pun pilihan yang dibuat rakyat untuk menobatkan parti yang menang majoriti dalam pilihan raya, bagi membolehkan pembentukan kerajaan dilakukan, namun boleh sahaja dihancur dan dirosakkan oleh percaturan elit politik, tambahan pula tingkah laku elit politik mempunyai kecenderungan yang tinggi untuk lahirnya pemikiran dan pendekatan politik bebal.

Realiti ini, akan menjadikan politik Malaysia terperangkap dalam situasi keterbalikan demokrasi, iaitu domokrasi bukan lagi bersumber kuasa rakyat sebaliknya berkisar sekitar percaturan politik oleh elit politik.

Peti undi bukan lagi pemutus keputusan pilihan raya, sebaliknya akuan bersumpah (statutory declaration) akan menjadi penentu kumpulan yang akan berkuasa dan membentuk pemerintahan berkerajaan.

AMANAH sekiranya gagal melakukan perkara yang betul dalam situasi yang betul dan tepat, bermakna AMANAH akan terkeluar daripada persaingan arus politik perdana.

Lantaran itu, AMANAH seharusnya perlu sentiasa mengawasi akan kedudukannya dalam kerangka hubungan dengan rakan-rakan gabungan politik.

AMANAH perlu bersedia untuk bertindak secara strategik, khususnya pada saat terdapatnya rakan gabungan politik yang mempunyai hasrat politik dan cita-cita yang tersendiri dalam konteks kuasa, melampaui daripada hasrat yang diungkapkan dan dipersetujui secara bersama. Matlamat peribadi menjadi lebih utama daripada matlamat bersama.

AMANAH jangan tersalah langkah, pimpinan AMANAH harus juga berfikir dalam konteks pemikiran pengikut bawahan, bukannya terus-terusan tegar dengan pemikiran puncak menara.

 

*DR. KAMARUDIN MUSA merupakan Penyelidk Perunding Human Resource Academy.