Mana-mana Menteri yang masih ragu-ragu mengenai apa yang dimaksudkan oleh Yang di-Pertuan Agong dengan ‘secepat mungkin’ dan berpendapat sidang Parlimen boleh ditangguhkan sehingga bulan September, Oktober atau tanpa tarikh yang jelas adalah bodoh atau jahil.
Malah mereka tidak layak untuk terus berada dalam barisan Kabinet dan rakyat Malaysia berhak menuntut agar Menteri terbabit berundur kerana jelas mereka tidak mempunyai kepintaran yang diperlukan untuk berada dalam Kabinet.
Demikian kata Ahli Parlimen Iskandar Puteri, Lim Kit Siang dalam kenyataan medianya sejurus selepas Yang Dipertuan Agong menitahkan sekali lagi agar Parlimen bersidang secepat mungkin.
Sehubungan itu, veteran DAP itu mencadangkan, agar mesuarat Kabinet esok membincangkan perkara ini atau akan berhadapan dengan krisis perlembagaan yang besar.
“Kabinet esok perlu memutuskan sama ada akan berlaku krisis perlembagaan pada skala besar kerana Yang di-Pertuan Agong telah menjelaskan dengan jelas tentang apa yang dimaksudkan baginda dengan titah “secepat mungkin”,” kata Kit Siang.
Katanya, selepas mengadakan pertemuan dengan Speaker Dewan Rakyat Azhar Azizan Harun dan dua timbalannya Azalina Othman Said dan Mohd Rashid Hasnon serta presiden Dewan Negara, Rais Yatim dan timbalannya, Mohamad Ali Mohamad di Istana Negara pagi ini, Yang di-Pertuan Agong sekali lagi menzahirkan pandangan bahawa persidangan Parlimen perlu diadakan secepat mungkin.
Ia bertujuan bagi membolehkan Proklamasi Darurat dan Ordinan-ordinan Darurat yang telah dikeluarkan dapat dibentang di Parlimen seperti yang termaktub dalam Perkara 150 (3) Perlembagaan Persekutuan dibincangkan.
“Sekiranya Parlimen bersidang setelah darurat berakhir pada 1 Ogos, maka tidak ada lagi keperluan untuk membahaskan Proklamasi Darurat dan Ordinan-ordinan Darurat kerana tempoh darurat sudah berakhir,” kata beliau.
Bagi beliau, selepas pertemuan Yang di-Pertuan Agong dengan wakil-wakil dari Dewan Rakyat dan Dewan Negara hari ini, tiada lagi keraguan mengenai “secepat mungkin” yang dimaksudkan oleh baginda dan Majlis Raja-raja Melayu selepas mengadakan perbincangan khas pada 16 Jun.