Negara bukan sahaja menghadapi krisis perlembagaan tetapi juga krisis kepimpinan dengan mentaliti kelas ketiga dan mentaliti hangit. Kenapa begitu?
Sejak Yang Di Pertuan Agong dan Raja-Raja Pemerintah mengadakan sidang khas pada 16hb Jun yang lalu dengan dekri dikeluarkan supaya parlimen bersidang SEGERA, pelbagai pandangan dan mekanisma digunakan untuk mempertikaikan kenyataan SEGERA bersidang atau bersidang SECEPAT MUNGKIN.
Yang tersirat jelas menunjukkan ketidaksediaan pemerintah menghadapi sidang untuk berhujah, berdebat dan memurnikan sebarang usul yang berkaitan dengan pandemik COVID-19. Hari ini pada 29 Jun 2021, YDPA telah menerima mengadap Yang di-Pertua Dewan Negara dan Dewan Rakyat, dan Baginda menegaskan sekali lagi supaya parlimen bersidang segera.
Kenapa sidang parlimen penting? Seperti kenyataan Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja Melayu, asas kepada keperluan sidang supaya disegera sangat jelas, iaitu keperihatnan Baginda Raja-Raja Melayu mengenai nyawa dan kehidupan rakyat, program vaksinasi, program menangani wabak, capaian vaksin secara segera dan inklusif, kepanasan suhu politik, kepentingan ujudnya kerajaan yang stabil dan mendapat sokongan majoriti rakyat.
Maka, parlimen perlu bersidang segera bagi membincangkan dengan kadar segera langkah yang perlu diambil bagi membendung pandemik COVID-19, membina semula ekonomi negara yang semakin reput akibat pendekatan yang sangat lemah oleh sebuah kerajaan yang lembab dan tidak berdaya-maju.
Sebenarnya banyak isu yang perlu diambil keputusan oleh dewan parlimen bagi membetulan malah menggantikan pelan pemulihan yang diluncurkan PM yang terlalu lemah, tanpa strategi dan gerak-kerja yang baik. Parlimen perlu membahaskan antaranya perkara berikut:
1- Kelembapan pelancaran vaksin (vaccine rollout delay)
2- Pembaharuan hubungan industri (industrial relation reforms)
3- Kajian semula gaji tahunan (the annual wage review)
4- Pendidikan dan latihan sebagai keutamaan pasca COVID-19 (Education and Training as a post COVID priority)
5- Gabungan perniagaan global (Global Bubusiness coalition)
6- Pembangunan dan transformasi industri (Industry development and transformation)
Kerajaan tidak boleh membiarkan sahaja pentadbiran negara dilakukan tanpa semak imbang. Adakah kita sedang menuju kearah kediktatoran dalam pentadbiran?
Rakyat sedang tersepit, mereka mahukan penyelesaian kepada pendapatan isi rumah, pekerjaan, pendidikan anak-anak, peluang pekerjaan melalui pemulihan semua ekonomi dan industri dan yang lebih penting strategi kesihatan awam yang lebih mampan dan kukuh.
Laporan terkini Bank Dunia bagi suku pertama (Q1) 2021 ekonomi Malaysia mengalami pengecutan yang membimbangan akibat dari pentintah kawalan pergerakan dan penggunan dana tidak telus dan tidak dipetanggungjawabkan melalui parlimen.
Seiring juga dengan titah DYMM YDPA dan Raja-Raja Pemerintah, laporan Bank Dunia terkini juga menekankan tumpuan segera harus diberikan dengan berkesan untuk pemulihan pandemik dan menyelamatkan nyawa. Meningkatkan keupayaan untuk pembendungan wabak secara pintar, termasuk penggunaan strategi pengujian dan saringan yang berkesan adalah mustahak untuk memastikan pembukaan semula yang selamat dan beransur-ansur sektor ekonomi. Secara selari, pelaksanaan vaksinasi mesti dilakukan dipercepat, untuk membantu melandaikan penyebaran pandemik.
Dalam hal ini Kerajaan nampaknya memilih untuk memekak telinga bukan sahaja terhadap titah YDPA malah kepada analisis Bank Dunia terkini. Mereka memilih untuk memperlahankan segala usaha pemulihan dengan memperkenalkan pelan yang tidak mempunyai sebarang strategi yang mantap dan mampan!
Sesungguhnya tanpa pembukaan palimen, tanpa perbahasan dan tanpa perbincangan yang padu dikalangan semua pihak, negara sedang menuju ‘ENDEMIC’. Sekiranya langkah pembetulan yang lebih strategik tidak dilakukan dengan berasaskan data raya yang tepat dan proses vaksinasi yang lebih agresif, maka ratusan malah mungkin ribuan lagi nyawa akan terkorban, maka pandemik ini akan berakhir dengan situasi ngeri yang akan berpindah ke FASA ENDEMIK.
Tan Sri Rafidah Aziz sendiri dalam surat terbuka beliau meluahkan kebimbangan yang amat sangat, hingga beliau menyatakan supaya janganlah proses pembukaan parlimen dijadikan seperti ‘cerita menengok anak bulan’ atau hikayat Perdana Menteri belum bersedia.
Tan Sri juga menekankan sama seperti yang telah disebut oleh ramai pengkaji dan juga ahli parlimen tentang isu dan perkara SEGERA dan MENDESAK yang perlu dibahaskan (selain yang penulis nyatakan terdahulu) , antaranya:
- Perbelajaan beratus ribu juta (beratus bilion!) yang sudah dibelanjakan dan akan dibelanjakan. Kesan perbelanjaan yang sangat-sangat besar itu.
- Cadangan menaikkan had siling hutang negara dan apa implikasinya.
- Membahas rancangan pemulihan negara dari aspek ekonomi, sosial dan kesihatan, pendidikan, Membahaskan ketahanan negara dalam konteks saingan dan keupayaan untuk menghadapi cabaran pasaran.
Penulis bersetuju dengan pandangan Tan Sri Rafidah supaya semua ini perlu malah wajib dibahaskan serentak dengan pelan yang lebih strategik dalam menangani pandemik COVID-19. Pelan ini bukan semata-mata pelan yang kononnya mengikut fasa tertentu tetapi suatu yang dilebih konkrik hendaklah dibentang diparlimen dan kemudian dilaksanakan dengan penuh kebertanggung-jawaban, berintegriti tinggi, dan melaksanakannya dengan penuh kejujuran bukan retorik politik ‘hangit’ Perikatan Nasional untuk mengekal kekuasaan.
Dalamasa yang sama supaya pandemik ini tidak berakhir dengan malapetaka besar ‘endemik’, maka semua penasihat termasuk menteri dan mereka dikeliling PM yang lemah daya fikir, tidak jujur, hanya mementingkan kuasa, hanya tahu berhelah supaya parlimen dilengah-lengahkan, tinggalkanlah kerusi empok demi negara. Janganlah berada disana lagi kerana negara mahukan penyelesaian segera dan rakyat mahukan solusi yang lebih baik.
Rakyat perlukan pelan penyelesaian ekonomi, pembukaan semula perniagaan, pendidikan, pengangkutan, kehidupan berkeluarga dan bermasyarakat yang normal. Rakyat tidak mahukan pimpinan dengan penyelesaian bodoh dan bengap seperti mencetak duit ringgit banyak-banyak oleh seorang Timbalan Menteri, kerana ini kononya akan menyelesaikan kemelut ekonomi rakyat. Ini bukanlah penyelesaian sebagai satu contoh kebebalan kepimpinan kononya memberikan penyelesaian. Rakyat sudah bosan dengan retorik!
Mahukah kita mengakhiri pendemik ini sebagai ENDEMIK kepada negara? Buka parlimen, berbincang dan berbahaslah dengan wakil-wakil yang rakyat telah pilih. Jika takut dilambung ombak, janganlah berumah ditepi pantai.
—————–
Penulis adalah Felo Akademi Sains Islam yang berpengkalan di Jordan. Tulisan ini adalah pandangan penulis dan tidak melambangkan pendirian akademi.