Politik Malaysia: Kejujuran adalah kata yang kesepian

Oleh NASUHA RAHMAN

Melihat gelagat ahli politik dalam “pentas teater” mereka hari ini, teringat saya kepada lirik lagu Billy Joel “Honesty”; yang dinukilkan oleh beliau pada tahun 1978. Lagu berirama balada piano itu menceritakan tentang wujudnya secara meluas sifat tidak malu.

Petikan dari lirik lagu tersebut yang berbunyi

Honesty is such a lonely word (Kejujuran adalah kata yang kesepian)

Everyone is so untrue (Semua orang sungguh tak jujur)

Honesty is hardly ever heard (Kejujuran jarang sekali terdengar)

Billy Joel mendendangkan lagu ini pada 1978, dan nah kita sedang melihat gelagat ahli politik dengan secara tepat membenarkan maksud lirik tersebut.

Bila kita berbicara tentang kejujuran politik ianya amat berkait rapat dengan integriti politik. Integriti politik membawa makna menggunakan kuasa politik untuk kepentingan rakyat, bebas dari kepentingan peribadi dan tidak menggunakan kuasa untuk terus kekal berkuasa dan memperkayakan diri.

Kejujuran adalah satu perkara yang begitu asing dengan kepimpinan politik hari ini; seperti kata Warren Buffet “Harga Kejujuran amat mahal dan jangan harapkan dari orang yang mempunyai harga diri yang murah”. Inilah status kepimpinan politik tanah air kita dan amat menyedihkan.

Mengambil persamaan dalam penggambaran sebuah filem, apa yang bermula dengan skrip yang sumbang akan menjadi bertambah huduh apabila ianya di tayangkan di layar besar.

Skrip “langkah Sheraton” yang begitu sumbang dan menjelikan itu telah menjadi asas kepada penggambaran teater politik PN yang amat meloyakan. Skrip yang di warnai oleh kerakusan nafsu, tidak berasaskan kepada prinsip dan integriti hari demi hari sedang mencengkam kerajaan PN setelah satu demi satu hasil dari skrip itu ditayangkan di layar besar “rakyat”.

Terlalu banyak yang telah dilayarkan; sikap angkuh merasakan mereka adalah golongan kayangan bebas dari segala undang-undang yang terpakai keatas rakyat marhaem merupakan satu adegan filem yang sentiasa terpapar di layar besar; dan yang amat menyedihkan aktor-aktor utamanya ialah mereka yang memegang tampuk kepimpinan. Tidak cukup dengan keangkuhan; berbohong untuk menipu rakyat menjadi skrip yang menjadi-jadi dan mutakhir ini skrip “majlis durian tahun lalu” dari seorang yang berperanan dalam menjaga institusi rakyat yang tertinggi adalah satu tindaka yang melampau.

Kejujuran dalam menguruskan keperluan rakyat menjadi persoalan yang bermain di minda rakyat apabila layar besar memaparkan adegan-adegan pembahagian kontrak kepada kroni-kroni secara berleluasa. Tidak boleh disalahkan rakyat bila mereka mengetengahkan jalan cerita bahawa Pemulih bukannya untuk membantu rakyat tetapi untuk memperkayakan golongan tertentu dan untuk kesinambungan politik aktor-aktor politik semasa PRU 15.

Rakyat diperlekehkan sekali lagi apabila inisiatif dari rakyat untuk membawa skrip prihatin dan empati “kibaran bendera putih” dimomokan oleh mereka yang berkuasa. Yalah mana mungkin penggambaran yang sudah hodoh untuk di perbaiki dengan aktor yang lebih berwibawa. Jadi Pengarah yang pincang terus menolak atas dasar ianya adalah langkah politik untuk menjatuhkan kerajaan sedia ada dan aktornya ialah mereka yang memegang tampuk kepimpinan tertinggi.

Yang lebih mengecewakan, aktor-aktor sampingan yang sebelum ini tidak pernah pun memberikan cadangan yang bernas untuk memenuhi citarasa penonton “layar besar”, tampil untuk memegang peranan hero dengan membawa skrip agama yang digunakan tanpa segan silu “Jangan kibarkan bendera putih, tadah tangan dan berdoa”. Menusuk dan menikam kalbu rakyat seperti kita sedang melihat adegan watak jahat dalam filem; ingin saja kita “menghenyak” watak jahat kerana kebencian yang tidak boleh dikawal terhadap skrip yang dibawa.

Wahai mereka yang bergelar rakyat; apakah kita mahu terus menerus dipaparkan dengan adegan-adegan yang jelik dan meloyakan ini? Adakah kita hanya sekadar penonton yang terpaksa menerima paparan adegan demi adegan yang memperbodohkan kita?

Kalau jawapan nya “enough is enough” seperti filem lakonan Jenifier Lopez, sudah sampai masanya pula kita rakyat menentukan bagaiaman hiburan yang ingin kita dipaparkan dalam layar besar teater politik Malaysia.

Ianya harus bermula dengan skrip yang jelas dan siapakah aktor-aktor utama yang kita inginkan mainkan peranan utama dalam “Teater yang baru”. Melodrama integriti, Keadilan dan kejujuran harus menjadi tema utama dan mewarnai adegan-adegan teater tersebut.

Teater yang bukan sekadar membosankan tetapi menimbulkan kebencian sudah pasti akan menyebabkan pengeluar dan Pengarah filem bangkrap. Ayuh rakyat kita boleh memainkan peranan tersebut dan pentasnya akan tiba tidak lama lagi.

 

Penulis adalah Timbalan Pengerusi AMANAH Wilayah Persekutuan dan Ketua AMANAH Titiwangsa