Penduduk Kuala Kangsar mengadu tidak pernah dapat bantuan, Abang Din perjelas isu keluarga tak makan

Oleh ARIF ATAN

Laman Facebook rasmi Pejabat Parlimen Kuala Kangsar hari ini dibanjiri dengan banyak aduan penduduk tempatan berkenaan ketiadaan agihan bantuan makanan.

Rata-ratanya mengeluh mendakwa kesukaran mendapatkan bantuan bahkan ada mendakwa hanya orang yang sama menerima bantuan.

Untuk rekod, hampir seminggu lalu Perdana Menteri mengumumkan peruntukan sejumlah RM300,000 kepada setiap Ahli Parlimen untuk melaksanakan Bantuan Bakul Makanan.

Penduduk tempatan, Salina Ismail mendakwa semenjak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ini tidak dapat pun bantuan apa.

“Mereka lalu saja. Dia hantar untuk orang senang bukan untuk orang susah,” katanya.

Sementara itu, Nor Sarifah Shaari dari Kampung Talang Tengah juga tampil mengadu.

“Kami pun jarang dapat bantuan. Kalau beri pun rumah yang sama saja,” katanya.

Penduduk kampung juga memberitahu terdapat ketua kampung yang tidak nampak batang hidung ketika ramai rakyat sedang menanggung kesusahan.

Antaranya, Jamiah Zainal yang mendakwa sikap ketua kampung itu berlaku sejak sebelum wabak Covid-19 lagi.

“Sama dengan tempat saya. Ketua kampung pun tidak pernah nampak batang hidung. Tak tahu siapa pun ketua kampungnya, bukan musim Covid-19 saja.

“Sebelum wabak pun sama. Buat aduan macam-macam tentang perparitan pun semua bertolak-tolak,” katanya,

Sehubungan itu, Jamiah menyeru agar Ahli Parlimen Kuala Kangsar, Datuk Mastura Mohd Yazid yang juga Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri agar turun menjenguk rakyat.

“Tolonglah hantar wakil turun jengah masyarakat. Cakap setiap kampung ada Pemudalah, Puterilah. Mai datang tanya masalah rakyat.

“Aduan dah kemuka bertahun-tahun kepada setiap agensi tapi senyap seribu bahasa. Jangan masa mengundi saja baru tahu nak cari sebab nak raih undi,” selarnya.

Pihak Pejabat Parlimen Kuala Kangsar kemudiannya memberia respon dengan memaklumkan empat talian hotline untuk mereka hubungi.

Buat tengin

Ada juga penduduk yang secara menyindir menganggap kawasan didiaminya tidak termasuk di bawah Parlimen Kuala Kangsar.

“Kami di sekitar Taman Raja Lope tidak pernah mendapat sebarang bantuan dari Parlimen Kuala Kangsar. Mungkin taman ini sudah diberi kepada Parlimen lain kot!” kata Sandha Beletambi.

Tidak kurang juga yang menyarankan agar orang ramai terus datang sendiri ke pejabat wakil rakyat ekoran sikap tidak peduli ketua kampung.

“Kalu jenis ketua kampung buat tengin (bodoh) tu, kome (kamu semua) panjat la sendiri pejabat ahli parlimen tu. Jangan la tunggu saja di rumah,” saran Amir Anis.

Melihatkan deretan aduan rakyat mengenai agihan bantuan makanan, Mohd Azril Amir menyeru agar wakil rakyat segera menghulurkan bantuan.

“Harap kome dapat beri bantuan dengan segeralah ye,” komennya ringkas diikuti tanda pagar, #jangansyoksendiri dan #rm300k.

Sementara itu, seorang aktivis tempatan dikenali sebagai Abang Din memberitahu ada beberapa keluarga terputus bekalan makanan dan tidak mengetahui program agihan bantuan.

“Ada banyak kes diberhentikan kerja. Ada beberapa keluarga yang terputus hubungan. Mereka ini habis kredit, habis data.

“Mungkin akibat itu, keluarga-keluarga ini terlepas pandang daripada bantuan-bantuan yang diberi pihak Parlimen dan DUN, JKKK,” katanya dalam satu rakaman video kelmarin.

Beliau berkata demikian susulan tersebar sedutan temubualnya berkenaan ada anak sebuah keluarga yang “sudah terbaring tak makan dua hari” dengan radio Suria FM baru-baru ini.

Sehubungan itu, beliau meminta orang ramai menghentikan kecaman sebaliknya bersama membantu pihak kerajaan memastikan agihan bantuan makanan sampai kepada golongan sasaran.

Semalam, Pejabat Parlimen Kuala Kangsar dalam satu kenyataan menegaskan dakwaan berkenaan ada anak sebuah keluarga tidak makan sehingga dua hari sebagai tidak benar sama sekali.

“Keluarga tersebut tidak pernah terputus bekalan makanan dan tidak tahu mengapa cerita tersebut direka semasa temu ramah berkenaan.

“Keluarga tersebut juga menafikan sekeras-kerasnya keadaan yang menyatakan anak mereka tidak makan sehingga dua hari,” katanya selepas pihak pejabat wakil rakyat itu menyiasat dengan mengumpul maklumat daripada beberapa pihak serta bertemu dengan keluarga terbabit.

Abang Din Kuala Kangsar