Walaupun sejumlah pemimpin Pakatan Harapan (PH) bertindak keluar daripada gabungan itu pada tahun lalu, Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang mendakwa kerajaan PH tumbang secara demokrasi.
Ahli Parlimen Marang itu berpendapat PH sebelum itu membawa pendekatan liberal dengan kemuncaknya dianggap berani mencabar kedudukan agama Islam dalam Perlembagaan dan kedudukan Raja-Raja.
“Komunis yang ganas dan lebih ganas daripada penjajah pula disanjung oleh mereka.
Begitu juga kalangan puak LGBT dan seumpamanya mula bebas menuntut hak dan ada pula kelompok dalam kerajaan PH yang mendukungnya.
“Akhirnya, kerajaan PH tumbang secara demokrasi apabila adanya keinsafan dalam kalangan sebahagian Ahli Parlimen yang kembali ke pangkal jalan bagi menyelamatkan negara,” katanya.
Hadi berkata demikian menerusi artikel panjang Minda Presiden Pas bertajuk, “Pandemik Covid-19 dan Pandemik Politiking” hari ini.
Duta Khas Perdana Menteri ke Timur Tengah bertaraf Menteri itu menganggap wabak politiking di negara ini agak berbeza memandangkan “virusnya merebak dengan sangat meluas”.
“Bermula apabila kerajaan PH yang memenangi pilihan raya dengan janji dan manifesto yang sebahagian besarnya adalah bohong dan menipu.
“Mereka juga mendapat dukungan media sosial upahan tanpa sempadan yang menyebarkan pelbagai penipuan, berita palsu dan sebagainya.
“Sehingga mereka berjaya mencapai kemenangan dan menubuhkan sebuah kerajaan yang membawa pendekatan liberal yang tidak sesuai dengan masyarakat negara ini,” tuduhnya.
Untuk rekod, PH tidak lagi mempunyai majoriti untuk membentuk Kerajaan Pusat susulan keputusan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dan 11 Ahli Parlimen PKR keluar gagasan itu pada Februari tahun lalu.
Kerajaan Perikatan Nasional (PN) kemudiannya ditubuhkan secara mengejut bagi mengambil alih pentadbiran kerajaan PH yang sebelum itu membentuk kerajaan dengan 139 kerusi menerusi komposisi empat parti komponen dengan sokongan Parti Warisan Sabah (Warisan) serta UPKO.
PH menganggap kejatuhannya sebagai Kerajaan Pusat di bawah Langkah Sheraton adalah akibat pengkhianatan Bersatu dan sekumpulan Ahli Parlimen PKR diterajui bekas Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.
Pas dengan 18 kerusi Parlimen yang dimilikinya menyokong proses pengambilalihan kerajaan oleh Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Tan Sri Mahiaddin Md Yasin.
Bahkan, Hadi pada Mac tahun lalu menyifatkan kerajaan yang dibentuk oleh PN dibuat secara tebuk ikut atap bukan ikut pintu belakang.