Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang hari ini menyelar pihak pembangkang dengan menganggap blok tersebut sebagai masih tidak sedar diri dan gila untuk berkuasa ketika pandemik masih mengganas.
Dia menegaskan pandemik politiking gila untuk berkuasa semula itu masih menjalar penularan wabaknya sehingga tidak mempedulikan wabak Covid-19 yang mengancam nyawa rakyat.
“Setelah mereka gagal melalui pendekatan meniru langkah Perikatan Nasional (PN) mengambil akuan sumpah (SD) Ahli Parlimen, mereka mengemukakan undi percaya dan undi tidak percaya yang gagal juga, di samping berusaha menubuhkan jajaran baharu, sehinggalah terkini mengheret semua pihak berpolitiking.
“Raja-Raja Melayu sepatutnya tidak diheret berpolitiking kerana Baginda masih banyak tugas-tugas yang lebih penting daripada melayan kehendak mereka yang berpenyakit politiking itu,” katanya.
Bahkan, dakwanya, kerajaan PH sebelum “tumbang secara demokrasi” membawa pendekatan liberal dengan kemuncaknya dianggap berani mencabar kedudukan agama Islam dalam Perlembagaan dan kedudukan Raja-Raja.
Duta Khas Perdana Menteri ke Timur Tengah bertaraf Menteri itu berkata demikian menerusi artikel panjang Minda Presiden Pas bertajuk, “Pandemik Covid-19 dan Pandemik Politiking” hari ini.
“Ada pula mereka yang masih tidak sedar dirinya sudah jadi pembangkang dan bukan lagi kerajaan, dengan berlagak membuat kenyataan seolah-olah masih berada di atas takhta,” tempelaknya.
Ahli Parlimen Marang berkenaan menambah kedua-dua pandemik tersebut iaitu Covid-19 dan politiking menyusahkan rakyat.
Kata bekas Menteri Besar Terengganu itu, pandemik Covid-19 patut ditangani dengan penuh penumpuan oleh semua pihak bagi menjaga nyawa seluruh rakyat yang tidak boleh ditangguhkan lagi.
“Bahkan wajib bertolong-menolong kerana wabak ini tidak mengenal siapa, tanpa mengira perbezaan agama, bangsa dan fahaman politik.
“Adapun peranan politik boleh ditunggu sehinggalah PRU-15 diadakan, rakyat pula jangan mudah lupa sehingga ditipu berulang kali,” ujarnya lagi.