Tiga aktivis dari Suaram dan seorang dari Misi Solidariti telah dipanggil untuk memberi keterangan berhubung animasi berjudul ‘Chilli Powder and Thinner’.
Mereka ialah aktivis Suaram Sevan Doraisamy; Mohammad Alshatri dan Kua Kia Soong serta pengasas bersama Misi Solidariti, Sharon Wah.
Keempat-empat mereka disoal siasat di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman jam 12 tengah hari tadi.
Sebelum ini, polis menyerbu pejabat Freedom Film Network (FFN) di Petaling Jaya dan rumah kartunis Amin Landak pada 2 Julai lalu.
Polis juga telah menyoal siasat Amin dan pengasas bersama FFN, Anna Har berhubung animasi tentang dakwaan individu yang ditangkap dan dipukul polis.
Sehubungan itu, Suaram menyifatkan tindakan terbabit sebagai satu bentuk intimidasi.
Animasi berjudul ‘Chilli Powder and Thinner’ terbitan Suaram itu dikatakan digarap berdasarkan kisah benar seorang remaja berusia 16 tahun yang ditangkap dan dipukul oleh polis bersama dua individu lain.
Semalam, Persatuan Hak Asasi Manusia (Hakam) mengecam siasatan itu dan menyifatkannya sebagai “tindak balas” oleh pihak polis.