Jawatankuasa Kesihatan Pakatan Harapan mengulangi pendiriannya agar Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menjalankan ujian saringan Covid-19 secara besar-besaran termasuk ujian saringan terhadap mereka yang tidak bergejala.
Menerusi satu kenyataan bersama, PH mencadangkan agar kerajaan memberi tumpuan saringan di lokaliti yang dikenalpasti mempunyai kadar jangkitan dan kes positif Covid-19 yang tinggi.
Mereka menegaskan, kadar purata kes positif negara dari 29 Jun hingga semalam (5 Julai) adalah 8.25 peratus, jauh lebih tinggi daripada nilai yang sepatutnya.
“Ini jelas menunjukkan bahawa kita kurang membuat saringan. Ini bertentangan dengan nasihat pakar-pakar perubatan dan juga amalan baik yang dijalankan di negara-negara yang berjaya mengawal wabak ini dengan efektif.
“Kalau kita mengambil contoh di Singapura, United Kingdom(UK) dan di Australia, mereka tetap melakukan saringan terhadap semua orang termasuk mereka yang tidak bergejala kerana majoriti kes yang dikesan adalah dalam kalangan mereka yang tidak bergejala.
“Di UK, mereka telah membuka satu tempat saringan khas untuk mereka yang tidak bergejala untuk disaring.
“Strategi saringan besar-besaran ini adalah cara mereka meneruskan pembukaan ekonomi mereka walaupun berhadapan dengan penularan variant Delta(India) di negara tersebut,” katanya dalam satu kenyataan
Kenyataan itu dibuat bersama bekas Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad (AMANAH); Ahli Parlimen Gopeng, Dr Lee Boon Chye (PKR); Ahli Parlimen Bangi, Dr Ong Kian Ming (DAP); Ahi Parlimen Lumut, Datuk Wira Dr Mohd Hatta Md Ramli (AMANAH); Ahli Parlimen Bandar Kuching, Dr Kelvin Yil (DAP).
Selain itu turut terlibat, Ahli Parlimen Bayan Baru, Sim Tze Tzin (PKR), Ahli Parlimen Lanang, Alice Lau (DAP); Exco Kerajaan Negeri Selangor, Dr Siti Mariah Mahmud; Exco Kerajaan Negeri Pulau Pinang, Dr Norlela Ariffin; Exco Kerajaan Negeri Sembilan Veerapan Supramaniam; AWAN, Dr Niekmah Adam (AMANAH) dan Dr Zaliha Mustafa (PKR)
Sementara itu PH berkata, setakat semalam, negara mencatatkan 6,387 kes positif di seluruh negara, tetapi hanya 66,063 ujian saringan telah dijalankan.
Ini katanya, jauh daripada sasaran 150,000 ujian sehari yang ditetapkan oleh Kementerian Kesihatan pada awal tahun ini.
Ini juga bermaksud kadar positif adalah 9.67 peratus, hampir dua kali ganda rekomendasi WHO iaitu sepatunya di bawah 5 peratus.
Pada masa sama PH mengingatkan, kluster terbaru yang merebak di pusat penjagaan warga emas di Australia yang menyerang mereka tidak bergejala juga menunjukkan pentingnya negara mempertingkatkan kadar saringan, mempercepatkan pengesanan kontak, kuarantin dan isolasi.
Mereka juga sekali lagi menekankan bahawa elemen utama dalam mengawal wabak Covid-19 adalah sistem “Find, Test, Trace, Isolate and Support (FTTIS)” yang masih disarankan oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).