Ahli Majlis Tertinggi Umno, Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi mengulangi desakan agar partinya menarik sokongan daripada kerajaan Perikatan Nasional (PN) ekoran kes Covid-19 yang tidak menunjukkan penyusutan.
Walaupun Perdana Menteri yang juga Pengerusi PN mengumumkan siri darurat sejak 11 Januari lalu tetapi angka kes pandemik itu semakin meningkat dengan jumlah keseluruhan setakat semalam sudah mencecah 792,693 kes.
“Apa lagi? Apakah ini kejayaan? Pertahan apa lagi? Sokong apa lagi?” soalnya dalam hantaran di Facebook sebentar tadi.
Bekas Ahli Parlimen Batu Pahat itu turut berkongsikan data kes harian semasa Mahiaddin Md. Yasin mengumumkan darurat atau Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 2.0 pada 11 Januari, PKP 3.0 pada 30 Mei, Sekatan Pergerakan Penuh (SPP) pada 1 Jun dan jumlah kes baharu setakat semalam.
Daripada data dikongsinya, semasa pengumuman PKP 2.0, negara mencatatkan 2,232 kes kemudian angka melepasi 3,000 kes iaitu 3,807 kes ketika pengumuman PKP3.0
Selanjutnya, jumlah kes harian ketika Mahiaddin mengumumkan SPP atau total lockdown sebanyak 7,105 kes manakala 7,654 kes direkodkan setakat semalam.

Ulangan desakan Puad itu juga muncul selepas wujudnya dakwaan 11 Ahli Parlimen Umno bertaraf menteri dan timbalan menteri dalam Kabinet PN yang dikatakan bersetuju untuk meletakkan jawatan jika diarahkan parti.
Sehubungan itu, Puad mempersoalkan atas kepentingan apa lagi untuk Umno meneruskan sokongan kepada kerajaan PN yang dilihat gagal memerangi pandemik yang telah meragut 5,677 nyawa itu.
Beliau bahkan menegaskan Umno yang memenangi 55 kerusi Parlimen pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) pada 2018 lalu tidak harus dijadikan ‘tebusan’.
“Kepentingan apa lagi? Tunggu apa lagi? Tarik sahaja sokongan.
“Umno tidak boleh dijadikan tebusan oleh ahli Parlimennya sendiri,” tegasnya yang juga bekas Ketua Pengarah Jabatan Hal Ehwal Khas (JASA) itu lagi.
Untuk rekod, sejak tahun lalu lagi Umno membuat pertimbangan untuk menarik diri daripada menyokong gabungan politik PN berserta syarat tertentu.
Terbaharu, pada bulan lalu apabila parti itu melalui Presidennya, Ahmad Zahid Hamidi memberi tempoh 14 hari kepada kerajaan PN pimpinan Mahiaddin agar memanggil sidang Parlimen.
Tempoh itu yang telah pun tamat kelmarin bagaimanapun menyaksikan majoriti Ahli Parlimen Umno dan Barisan Nasional (BN) tidak bersedia keluar dari kerajaan PN.