MT Umno: 30 lawan 16, Ismail Sabri dikecam terima jawatan TPM

Oleh BORHAN AHMAD

Mesyuarat Majlis Tertinggi Umno malam tadi membuat keputusan menarik diri dari menyokong Tan Sri Mahiaddin Md Yasin sebagai Perdana Menteri serta merta dengan 30 bersetuju dan 16 lagi anggotanya menentang.

Menurut sumber, tindakan Naib Presiden Umno, Datuk Seri Ismail Sabri menerima pelantikan sebagai Timbalan Perdana Menteri telah dikecam hebat oleh ahli mesyuarat yang berakhir lewat malam tadi.

Ini kerana, sebelum ini keputusan telah dicapai secara tidak rasmi agar Umno tidak akan menerima jawatan TPM dan tindakan menerima jawatan itu memalukan Umno, kata sumber itu.

Semalam, dalam satu tindakan yang mengejutkan banyak pihak, Ismail telah dilantik oleh Mahiaddin sebagai TPM manakala Datuk Seri Hishamuddin Husein dilantik sebagai Menteri Kanan Keselamatan.

Ia telah dianggap sebagai usaha untuk menyekat Umno dari bertindak meninggalkan kerajaan PN kerana pemimpin Umno telah dilantik sebagai TPM dan Menteri Kanan.

Dalam pengundian yang dibuat malam tadi, antara 16 yang tidak bersetuju adalah Ismail Sabri sendiri dan seorang lagi naib presiden, Datuk Seri Mahadzir Khalid.

Turut tidak bersetuju dengan keputusan ini adalah Datuk Seri Tengku Adnan Mansor, Tan Sri Shahril Samad, Datuk Seri Reezal Marican (menteri), Datuk Alwi Che Mat, Datuk Seri Azeez Rahim, Datuk Seri Noh Omar, Datuk Dr Fathulbari Mat Jahya, Datuk Khaidhirrah Abu Zahar, Datuk Jalaludin Alias, Datuk Hasni Mohammad, Datuk Tajuddin Abdul Rahman, Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad, Datuk Zahidi Zainul Abidin dan Nurul Amal Mohd Fausi.

Dengan keputusan ini, Tan Sri Mahiaddin Md Yasin akan hilang kepercayaan majoriti Ahli Parlimen untuk terus kekal sebagai Perdana Menteri.

Jika kes Perak dijadikan sandaran, Yang di-Pertuan Agong akan memanggil pihak-pihak yang terlibat dan kemudiannya akan membuat pelantikan PM yang baharu.

Dalam kes itu, Kerajaan Negeri Perak pimpinan Datuk Seri Mohamad Nizar Jamaludin jatuh pada 4 Februari 2009 apabila empat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) keluar daripada Pakatan.

Sultan Perak ketika itu, Sultan Azlan Shah yang juga bekas Ketua Hakim Negara, kemudiannya telah memanggil semua yang terlibat dan melantik Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir sebagai menteri besar pada 6 Februari 2009, iaitu dua hari selepas tindakan empat ADUN tersebut mengisytiharkan diri melompat parti dan menyokong BN.

Mahkamah Rayuan pada 22 Mei 2009 telah memutuskan perlantikan Dr Zambry sah walaupun Mahkamah Tinggi sebelum itu telah memutuskan Nizar masih MB yang sah.

Pada 9 Februari 2010, Mahkamah Persekutuan memutuskan Dr Zambry adalah MB yang sah.

NO ANWAR, NO DAP

Dalam kenyataan rasmi Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi malam tadi juga, Umno menegaskan mereka tidak akan menyokong Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri dan juga tidak akan menyokong kerajaan yang ditunjangi oleh DAP dan PH.

“Mesyuarat MKT malam ini juga mempertegaskan pendirian sebagaimana yang telah diputuskan di Perhimpunan Agung Umno 2020, untuk tidak sesekali menyokong sebarang usaha mencalonkan Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri ataupun Kerajaan yang ditunjangi oleh DAP-PH (DAP-PH Lead Government),” kata Zahid malam tadi.