Sebab mahu terus berkuasa, Mahiaddin mengalah dengan desakan Umno

Oleh KIM SYAZIE

Pengarah Komunikasi AMANAH Nasional, Khalid Samad menyifatkan pelantikan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebagai Timbalan Perdana Menteri  adalah tanda bahawa Tan Sri Mahiaddin Md Yasin telah mengalah dengan desakan dan tuntutan Ahli-ahli Parlimen Umno.

Beliau berkata, Mahiaddin mahu kerajaannya terus disokong dan bimbang terhadap gerakan di dalam parti itu yang mahu menarik sokongan dari Perikatan Nasional (PN).

“Dia nak sokongan, nak terus berkuasa maka diberikan jawatan-jawatan untuk terus mendapatkan sokongan itu.

“Pada masa sama, yang Umno nak ialah macam mana mahu kekal berkuasa dalam kerajaan sedia ada walaupun kerajaan ini dah gagal. Maka antara permintaan dan tuntutan Umno ialah jawatan timbalan perdana menteri seperti apa yang kita dengar dahulu,” katanya dalam sesi siaran langsung di Facebook Jom Channel malam tadi.

Khalid berkata, ketika ini Umno sudah pun berpecah dan sekiranya sebahagian dari menteri dan timbalan menteri Umno menarik diri seperti diarahkan Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, maka peluang yang ada untuk mengekalkan kedudukan menteri-menteri PN adalah dengan meraih sokongan dari sebahagian parti pembangkang.

“Kalau Zahid dan geng kluster mahkamah tu lari, mereka perlu diganti. Di situ PN akan cuba tarik mana-mana parti pembangkang supaya dia boleh kekal berkuasa.

“Ini yang kita nampak politik sekarang ini. Ianya satu pertarungan atau pergelutan nak dapatkan kuasa tanpa segan silu,” ujarnya.

Perjalanan politik Azmin dan Zuraida

Khalid yang juga Ahli Parlimen Shah Alam juga berpendapat bahawa individu-individu di dalam Kabinet masih lagi mempamerkan watak yang sama dan pastinya tiada perubahan boleh dilakukan

Pada masa sama beliau berkata, dengan percaturan politik yang berlaku, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali pasti sudah menjangkakan bahawa masa depan politiknya bakal menjadi gelap.

“Geng pengkhianat yang bersama dengan Mahiaddin dulu yang masuk Bersatu kemudian lompat dan yang bersama Azmin pun lompat, adakah mereka boleh menerima keadaan ini.

“Lalu apa masa depan politik Azmin Ali, masa depan politik Hamzah Zainuddin dan Zuraida Kamarudin. Selepas pilihan raya atau semasa pilihan raya, mereka akan dipinggirkan.

“Bila dipinggirkan tak ada lagi masa depan politik mereka. Mungkin Umno dapat melonjak kembali, tapi saya rasa Bersatu dengan geng Azmin dah nampak bahawa tindakan ini menyebabkan masa depan mereka semakin gelap,” ulasnya lagi.