Masjid, surau di Wilayah dibuka mulai esok

Oleh ARIF ATAN

Walaupun kes harian Covid-19 di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur melepasi 1,000 kes sejak tiga hari berturut-turut, surau dan masjid diberi kebenaran untuk dibuka bermula esok.

Kebenaran kerajaan termasuk untuk Putrajaya dan Labuan itu juga diharap dapat dimanfaatkan umat Islam, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri.

Menurutnya, kebenaran tersebut mampu mengimarahkan kembali rumah ibadat bagi umat Islam itu yang ditutup ketika pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“Saya harap semua dapat mengunjungi masjid yang sudah berdaftar serta mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan. Imarah masjid ini adalah wajib, bukannya sunat.

“Kita sebagai umat Islam, Allah sendiri suruh kita mengimarahkan dan sepatutnya kita imarahkanlah masjid berkenaan.

“Datang masjid ini ia membabitkan syiar Islam kerana ia membabitkan solat Jumaat, solat fardu dan sebagainya,” katanya.

Sehubungan itu, Zulkifli mengingatkan agar pengunjung surau dan masjid mematuhi SOP dan penjarakan fizikal supaya terhindar daripada wabak Covid-19.

Beliau berkata demikian selepas Majlis Pelepasan Misi Bantuan Ihsan: Panggilan Pulau ke Pulau Redang dan Pulau Perhentian yang dilaksanakan oleh Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM), hari ini.

Sebelum ini, Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) mengeluarkan ketetapan baharu berhubung had jemaah di masjid dan surau membabitkan Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan berkuat kuasa esok.

Jumlah jemaah yang dibenarkan dalam satu masa adalah mengikut keluasan sesebuah masjid atau surau.

Bagi solat Jumaat dan solat sunat Aidiladha pula dibenarkan antara 12 hingga 300 jemaah pada satu masa.

Selain itu, untuk pelaksanaan solat fardu pula, jumlah jemaah yang dibenarkan adalah antara 12 hingga 100 jemaah.

Untuk rekod, Kuala Lumpur hari ini mencatatkan 1,133 kes baharu iaitu peningkatan berturut-turut sejak 5 Julai lalu.

Sementara itu, Labuan dan Putrajaya kekal mencatatkan dua angka jangkitan iaitu masing-masing 64 dan 47 kes hari ini.