Dewan Negeri Selangor bersidang 23 Ogos hingga 6 September

Oleh NASUHA RAHMAN

Dewan Negeri Selangor akan bersidang mulai 23 Ogos hingga 6 September selaras peruntukan yang termaktub dalam Ordinan Darurat.

Menteri Besar Datuk Seri Amirudin Shari berkata, sidang DUN akan dijalankan dengan kawalan Tatacara Pengendalian Piawai dan memfokuskan kepada segala usaha Kerajaan Negeri Selangor menangani penularan wabak COVID-19, serta mendapatkan maklum balas dan cadangan dari Ahli-ahli Dewan Negeri Selangor sesuai dengan peranan bidang legislatif sebagai sistem semak imbang kepada bidang eksekutif.

“Ini juga selaras dengan aspirasi rakyat agar setiap keputusan Kerajaan Negeri dibuat secara bertanggungjawab dan berhemah serta pada masa yang sama mempertingkatkan usaha mendepani wabak COVID-19 di Selangor,” katanya dalam kenyataan.

Selaras dengan peruntukan yang termaktub di dalam Ordinan Darurat (Kuasa-kuasa Perlu) 2021, Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah telah memberi perkenan pembukaan sidang Dewan Negeri Selangor melalui warkah yang diutus KDYMM Tuanku bertarikh 6 Julai 2021.

Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj Ibni Almarhum Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah Alhaj juga telah memberi perkenan Baginda bagi tujuan Mesyuarat Pertama Penggal Keempat (Ke-4) Dewan Negeri Selangor Keempat Belas (Ke-14) Tahun 2021.

Kerajaan Negeri Selangor menjunjung kasih di atas perkenan KDYMM Seri Paduka Baginda dan DYMM Sultan Selangor yang sentiasa prihatin terhadap kebebasan amalan demokrasi di negeri ini.

DYMM Sultan Selangor telah berkenan untuk berangkat dan mencemar duli bagi merasmikan Istiadat Pembukaan Dewan Negeri Selangor Darul Ehsan pada Isnin, 23 Ogos 2021.

Dewan Negeri Selangor kemudian akan mula bersidang selama sembilan (9) hari, iaitu 24 Ogos 2021 – 27 Ogos 2021, 30 Ogos 2021, 1 September 2021 – 3 September 2021 serta 6 September 2021.

Sidang dewan kali ini adalah mengikut format sidang biasa yang mempunyai sesi soal jawab dan perbahasan dan bukan sekadar sidang khas.