Bukan politik orang siuman

Oleh NASUHA RAHMAN

Mana-mana orang yang mengikuti perkembangan politik sekarang dan berasa keliru, nasihat saya jangan sampai tertekan atau hilang punca. Tak berbaloi.

Mana-mana orang siuman yang mengikuti perkembangan politik semasa tidak akan faham sebab politik yang sedang dimainkan sekarang bukanlah politik orang siuman.

Ia adalah politik orang yang menjadi tidak siuman kerana gila pangkat, takut masuk penjara dan tidak mahu disiasat apabila hilang kuasa.

Memang susah hendak faham. Majlis Tertinggi Umno (MKT) umum tarik balik sokongan kepada Mahiaddin Md Yasin dan suruh dia letak jawatan Perdana Menteri serta merta dan secara terhormat.

Tapi pada masa yang sama Umno tidak arah Menteri dan Timbalan Menterinya keluar daripada kerajaan Perikatan Nasional. Sebaliknya, Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi sendiri merestui pelantikan Naib Presiden Umno, Ismail Sabri Yaakob sebagai Timbalan Perdana Menteri dan Hishammuddin Hussein sebagai Menteri Kanan oleh Mahiaddin.

Ismail Sabri siap mengeluarkan kenyataan media bagi mengucapkan terima kasih kepada Ahmad Zahid kerana merestui pelantikannya. Kalau bukan gila, apa lagi?

Kemudian Setiausaha Agong Umno, Ahmad Maslan menaikkan tahap kegilaan ini dengan mengumumkan yang Ahli Parlimen Umno boleh menggunakan budi bicara apabila berlaku pengundian di Dewan Rakyat. Dia kata itu adalah keputusan mesyuarat MKT Rabu lepas.

Ini adalah mainan politik kluster mahkamah Umno dalam percubaan menyelamatkan diri dengan menggunakan kluster-kluster lain yang tidak bermasalah dan yang boleh diterima oleh Mahiaddin dan penyokongnya.

Buat masa ini, Mahiaddin nampaknya masih berpegang kepada pendirian tidak campur tangan dalam perbicaraan jenayah pemimpin-pemimpin Umno. Ini memaksa kluster mahkamah berjinak-jinak dengan Ketua Pembangkang, Anwar Ibrahim dengan harapan dia lebih sedia bertolak ansur jika berjaya menjadi Perdana Menteri walaupun Perhimpunan Agung Umno Mac lalu memutuskan “no Bersatu, no Anwar, no DAP”.

Strategi Ahmad Zahid dan kluster mahkamah sangat jelas. Mereka mahu menyingkirkan Mahiaddin dengan harapan Umno boleh merampas kerajaan melalui Ismail Sabri. Bagi ahli-ahli Parlimen Umno pula, kerusi Menteri, Timbalan Menteri dan Pengerusi GLC adalah terlalu empuk untuk dikorbankan. Slogan mereka adalah “demi diriku, anak biniku dan konco-koncoku”. Demi agama, bangsa dan negara adalah klise.

Hasil hipokrisi dan penyundalan politik ekstrem oleh pemimpin-pemimpin atasan Umno ini, Mahiaddin kekal Perdana Menteri walaupun MKT Umno sendiri mahu dia meletakkan jawatan. Buat masa ini, tidak siapa tahu kedudukan sebenar sokongan Ahli Parlimen terhadapnya. Kita tidak tahu sama ada kerajaan yang ada sekarang halal, haram, harus, sunat atau makruh. Wallahuaklam.