Lagu Hentikanlah gubahan Marinah Mustapha juara cipta lagu Tamat Darurat

Oleh BORHAN AHMAD

Lagu Hentikanlah ciptaan dan gubahan Marinah Mustapha telah dinobatkan sebagai juara bagi pertandingan mencipta lagu Tamat Darurat yang dianjurkan Jawatankuasa Rayuan Penamatan Proklamasi Darurat.

Naib juara pula dimenangi oleh Chevy Amry dengan lagu yang bertajuk Hentikan Propaganda dan tempat ketiga dimenangi oleh Afifi Alias dengan lagu gubahanya bertajuk Warga Yang Patuh.

Ketiga-tiga pemenang ini telah diumumkan Khalid Abdul Samad sebentar tadi melalui Facebook TamatDarurat.

Menurut Khalid lagu yang menjadi juara ini akan dijadikan lagu rasmi kempen Tamat Darurat.

Jawatankuasa juga akan menganjurkan satu lagi pertandingan iaitu pertandingan menyanyi yang akan diumumkan syarat-syaratnya sekiranya lagu ini bagus penyanyi akan diberikan peluang untuk membuat ‘album single’ dan pengubah turut mendapat manfaatnya.

Pertandingan yang dilancarkan pada 6 Jun lalu diadakan bagi merancakkan lagi kempen agar darurat ditamatkan.

Juara pertandingan ini akan menerima hadiah RM3,000, kedua RM2,000, ketiga RM1,000 manakala RM250 bagi tujuh hadiah saguhati.

Mulai 6 Julai lalu, orang ramai boleh mendengar dan menilai 10 buah lagu yang disenaraipendek dalam Pertandingan Mencipta Lagu Tamat Darurat.

Kesemua lagu terbabit telah disiar menerusi laman Facebook Tamat Darurat sehingga 8 Julai kelmarin.