Kempen menaikkan bendera putih adalah bertujuan untuk membolehkan individu dan keluarga memohon bantuan jika terputus bekalan makanan.
Namun, kempen ini telah diambil kesempatan oleh sebuah resort di Port Dickson untuk menyelamatkan resort mereka dan lain-lain hotel dari menyembah bumi akibat dari pandemik Covid-19 ini.
Kakitangan dan pengurusan Eagle Ranch Resort telah membuat satu video yang sangat sayu dengan menaikkan bendera putih bagi memohon bantuan bagi menyelamatkan resort mereka.
Dengan berdiri di depan pintu masuk resort mereka, pengurusan dan kakitangan resort ini telah menaikkan bendera putih sambil menundukkan kepala merayu agar resort mereka diselamatkan.
“Walaupun kami telah berusaha keras untuk melawan pandemik ini, Eagle Ranch Resort, Port Dickson menaikkan bendera putih sebagai tanda solidariti dengan semua hotel-hotel di Malaysia.
“Kami tidak memerlukan bantuan makanan, tetapi kami membuat ini untuk menyatakan kekecewaan kami berikutan kegagalan Kementerian Pelancongan dan Kerajaan Malaysia untuk memberikan bantuan yang sewajarnya.
“Sekarang kami sangat memerlukan vaksin yang lebih cepat dan bantuan secara langsung kepada pemain industri yang terlibat,” kata mesej yang dibuat menerusi video yang penuh syahdu itu.
Sekurang-kurangnya 120 hotel di Malaysia telah menghentikan operasi sama ada sementara atau secara kekal dengan kerugian setakat ini mencecah lebih RM11.3 bilion akibat pandemik Covid-19.
Akhbar Sinar Harian yang melaporkan perkara tersebut memetik ketua eksekutif Persatuan Hotel Malaysia (MAH) Yap Lip Seng berkata dalam tahun ini sahaja sejumlah 20 hotel telah ditutup kerana mengalami kerugian.
Ini merupakan tambahan kepada 100 hotel yang terpaksa ditutup pada tahun lalu.
Yang terbaru, Hotel Istana di tengah segitiga emas Kuala Lumpur mengumumkan akan menghentikan operasinya tidak lama lagi.
Hotel yang biasanya menjadi tempat penginapan pemimpin negara asing ketika melawat ke negara ini akan menamatkan perkhidmatan pada 1 September depan, 30 tahun selepas beroperasi.
Pengurus besarnya Noorazzudin Omar dalam notis penutupan kepada pekerja bertarikh 20 Jun berkata skim pemisahan sukarela ditawarkan kepada pekerja yang terjejas.
Katanya, keputusan memberhentikan operasi itu dibuat selepas mengambil kira keadaan semasa dan mempertimbangkan segala pilihan.
“Tidak banyak pilihan yang tinggal selain meneruskan penutupan itu,” kata Noorazzudin.