Ribuan pesakit Covid-19 beratur panjang di CAC, KKM jangan sorok realiti

Oleh ARIF ATAN

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dinasihatkan tidak menyembunyikan realiti pertambahan mendadak kes jangkitan Covid-19 yang semakin membimbangkan.

Pusat Penilaian Covid-19 (CAC) di Stadium Malawati, Shah Alam pagi semalam contohnya menyaksikan ramai pesakit terpaksa berbaris panjang menunggu giliran.

Koordinator bagi kemudahan fasiliti diperlukan oleh CAC, Ahmad Sayuti Bashiron berkongsikan rakaman video situasi di pusat penilaian Covid-19 itu.

“Ratusan, lebih ribuan pengunjung yang 100 peratus positif terpaksa beratur (di perkarangan luar Stadium Malawati) lebih kurang 500 meter sebelum berjaya masuk ke CAC terbesar di negara ini,” katanya.

Menurutnya, pagi semalam merupakan fenomena kali kedua kebanjiran luar jangka dari kemampuan CAC Stadium Malawati yang diuruskan oleh hampir 200 barisan hadapan.

“Ramai yang tidak terucap, terkejut dan tergamam. Saya pun sama. Saya jadi tak keruan bagaimana nak mulakan operasi seawal jam 7 pagi tadi (semalam).

“Kapasiti asal 1,200 hingga 1,500 pesakit untuk dinilai setiap hari. Namun, dalam minggu ini sahaja sudah tiga kali penilaian melangkau 2,000 pesakit, bahkan tertinggi pada Isnin awal minggu ini, 5 Julai, sebanyak hampir 3,000 pesakit.

“Satu yang tak terbayang dek fikiran kita, apakah pengakhirannya?” luahnya sambil berharapkan orang ramai mendoakan wabak ini cepat diangkat.

Ahmad Sayuti Bashiron

 

Pengurus Darul Ehsan Facilities Management Sdn Bhd (DEFM) berkenaan berkata, ramai pesakit terbabit ke CAC Malawati hanyalah dari daerah Petaling sahaja.

“Ada 98 CAC di Malaysia, tapi CAC daerah ini sahaja menyumbang angka tertinggi Covid-19 di Malaysia.

“Majoriti kluster tempat kerja, khasnya kilang. Kalau ada yang nak nafikan, ‘persetan’kanlah manusia bodoh, sombong dan jahat itu,” tegasnya menerusi hantaran di Facebook. 

Semakan Malaysia Dateline mendapati sebanyak 12,716 kes Covid-19 dilaporkan dalam daerah Petaling bagi tempoh 14 hari bermula 27 Jun hingga semalam.

Menurut Jabatan Kesihatan Negeri Selangor, daripada jumlah tersebut, 1,282 kes direkodkan pada semalam sahaja.

Setakat jam 12 tengah hari semalam juga, sebanyak 4,277 kes Covid-19 dicatatkan di Selangor sekali gus negeri paling teruk terjejas dengan pandemik tersebut apabila mengumpul 281,670 kes.

Selangor turut mencatatkan kes korban harian tertinggi berbanding negeri dan wilayah lain. Sebanyak 50 daripada 87 kes kematian semalam dilapor di Selangor.

Bantuan doktor

Sehubungan itu, Sayuti memohon agar tiada mana-mana pihak termasuk KKM cuba menyorokkan keadaan sebenar yang sedang barisan hadapan hadapi.

“Apa yang saya kongsikan adalah realiti, dan kalian yang di atas sana wajib berlaku jujur dan amanah dalam melaksanakan tugasan kalian.

“CAC ini (Stadium Malawati) sejak beberapa hari telah terpaksa menerima bantuan doktor dari luar dari Selangor.

“Bahkan, terdapat pesakit yang juga terpaksa dipindahkan ke hospital luar dari Selangor, termasuk Tanjong Malim, Tapah dan sebagainya disebabkan kemampuan kapasiti di Lembah Klang ini yang telah melimpah lebih dari 100 peratus,” dedahnya.

Sayuti memaklumkan CAC ialah destinasi pertama seseorang sejurus disahkan positif Covid-19 untuk datang, bertemu dengan doktor, dinilai tahap jangkitan dan ditentukan langkah seterusnya.

Mereka, jelasnya, selepas itu sama ada ditempatkan di hospital, Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 Berisiko Rendah (PKRC) atau dibenarkan pulang menjalani Pengawasan dan Pemerhatian di rumah atau (HSO) dengan prosedur operasi standard (SOP) ketat.

Beliau turut mengulas tindakan pihak KKM memuatnaik situasi di CAC pada 8 Julai lalu dengan berkongsikan foto yang dirakamnya sendiri.

“Tak tahu apa niat KKM. Apa yang mahu kamu sorokkan. Kerja melampau dengan ambil foto saya dan letakkan kapsyen ‘palsu’. I cant take it my dear KKM,” katanya.

Sayuti dalam masa sama menyelar sikap politikus khianat yang dianggapnya hanya menipu termasuk mereka yang berimej agama.

“Saya cukup benci ahli politik khianat yang kerja mereka hanyalah berbohong, sekalipun serban melilit atas kepala.

“Celakalah lebai-lebai politik yg sanggup berbohong itu demi jawatan Duta atau Menteri mereka miliki,” ujarnya.

Beliau bagaimanapun tidak menyalahkan sesiapa sebaliknya berharap kerajaan pada masa ini benar-benar bertanggungjawab dalam memerangi Covid-19.

“Kita masih ada kerajaan itu yang dipertanggungjawabkan. Buatlah kerja dengan amanah dan jujur, kelak kalian akan dipersoalkan depan Allah kelak,” pesannya lagi.