#UiTMBerduka sohor di Twitter

Oleh ARIF ATAN

Lantaran berdukacita dengan nasib dua pelajar Universiti Teknologi MARA (UiTM) di cawangan Kedah dan Pahang yang meninggal dunia baru-baru ini, pengguna Twitter mewujudkan tanda pagar #UiTMBerduka.

Tanda pagar itu telah sohor dengan lebih 10,000 ciapan menggunakan tanda pagar tersebut petang ini.

Pelajar semester tiga UiTM Kedah,Nurul Natasya Ezreen Azemi dilaporkan meninggal dunia selepas dipercayai tidak sedarkan diri di rumah sewanya di Kuala Muda, awal pagi pada 8 Julai lalu.

Natasya, 22, merupakan pelajar Diploma Pengurusan dan Teknologi Pejabat, Fakulti Pengurusan dan Perniagaan.

Poster ucapan takziah sempena pemergian dua penuntut UiTM tersebar di media sosial.

Seorang lagi pelajar Diploma Kejuruteraan Awam, Fakulti Kejuruteraan Awam, Cawangan Pahang, Muhammad Adham Hazim Mohd Rizaini, 21.

Kematian kedua-dua mereka kemudiannya mendapat reaksi warganet khususnya pelajar UiTM.

Tular dakwaan di media sosial bahawa kes kematian terbabit berkaitan tekanan menjalani kuliah dalam talian, selain bebanan menyiapkan tugasan dan persiapan menghadapi peperiksaan akhir.

Rata-ratanya menyifatkan sesi pembelajaran secara Pembelajaran Jarak Jauh Terbuka atau Open Distance Learning (ODL) untuk jangka panjang amat mencabar.

“Belajar tidak harus mengorbankan hidup pelajar, ini memilukan. Kepada rakan-rakan saya di luar sana, tolong jaga kesihatan anda secara mental dan fizikal. Ini bukan jenaka,” kata pengguna Twitter, Safiah.

Sementara itu, Amelia Adam menulis, “Kita harus selalu mengingatkan diri kita sendiri bahawa, “Kita tidak semua berada dalam kapal yang sama. Kita semua berada dalam ribut yang sama.”

Penilaian akhir

Dalam hal berkaitan, Jabatan Komunikasi Korporat UiTM dalam satu kenyataan, hari ini
menyatakan rasa dukacita dan mengucapkan takziah kepada seluruh keluarga dua penuntut terbabit.

Menurut kenyataan itu juga, UiTM sentiasa prihatin bagi memastikan kebajikan dan kemudahan pelajar dalam menjalani sesi pembelajaran secara ODL.

“Sehubungan itu, pelajar yang memerlukan kemudahan internet dan peranti dibantu serta dialu-alukan untuk menginap di kolej atau rumah sewa berhampiran kampus.

“Bagi aspek pentaksiran dan penilaian, UiTM, melalui Bahagian Hal Ehwal Akademik serta pensyarah sudah membuat pemakluman awal berkaitan tarikh penting tugasan kepada pelajar di awal semester melalui pelan pengajian setiap kursus.

“Bahagian Hal Ehwal Akademik UiTM melalui inisiatif prihatin juga sudah melanjutkan aktiviti pentaksiran dan penilaian berterusan sepanjang minggu Penilaian Akhir sehingga Ogos depan,” katanya.

Jelasnya, inisiatif itu dilaksanakan melalui Pekeliling Akademik bil 11/2021 yang dikeluarkan dan dimaklumkan kepada semua pelajar dan pensyarah pada 18 Jun lalu.

Menurut kenyataan itu lagi, Bahagian Hal Ehwal Pelajar dan Unit Kaunseling UiTM dalam masa sama juga sentiasa peka dan bersiap siaga bagi membantu pelajar dalam memberi khidmat nasihat dan apa jua bantuan yang diperlukan oleh pelajar dalam menghadapi proses pengajaran dan pembelajaran secara ODL dalam situasi pandemik Covid-19 ini.

“Pelajar disarankan agar sentiasa berbincang dengan pensyarah, penasihat akademik atau ketua program masing-masing bagi menyelesaikan apa jua isu berkaitan pentaksiran dan penjadualan penilaian,” dipetik kenyataan UiTM lagi.