Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan sidang Dewan Rakyat mesti membahaskan Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu) 2021 yang mula berkuatkuasa 11 Januari lalu.
Presiden PKR yang juga Pengerusi Pakatan Harapan (PH) itu berkata, perbahasan sidang Parlimen akan datang juga perlu membincangkan situasi pandemik Covid-19, kadar vaksinasi dan kadar ujian saringan.
Turut perlu dibahaskan, katanya, perincian berkaitan perbelanjaan dan Pelan Pemulihan Negara (PPN) yang diumumkan kerajaan pada 15 Jun lalu.
Justeru, Anwar memberitahu, beliau hari ini telah menghantar suatu usul bagi memastikan sidang dewan akan datang mesti membahaskan segala hal tersebut.
“Usul ini dihantar bagi memastikan ruang perbahasan yang telus dan komprehensif akan berjalan dalam ruang lingkup demokrasi berparlimen serta lunas-lunas negara hukum (rule of law),” katanya dalam kenyataan hari ini.
Sebelum ini, Anwar menyifatkan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) berjalan amat perlahan.
Majlis Presiden Pakatan Harapan (PH) juga pada 9 Julai lalu menyatakan rasa kesal dan sedih dengan kes harian Covid-19 yang semakin mencanak naik.
Untuk rekod, Mesyuarat Khas Penggal Ketiga Parlimen Ke-14 selama lima hari bermula 26 hingga 29 Julai dan 2 Ogos ini bagi Dewan Rakyat.
Sementara itu, Dewan Negara pula akan bersidang selama tiga hari bermula 3 hingga 5 Ogos ini.
Walau bagaimanapun, Pejabat Perdana Menteri dalam kenyataannya minggu lalu memaklumkan persidangan itu bertujuan memberi penerangan kepada semua Ahli Parlimen berkenaan PPN dan meminda semua perundangan dan peraturan bagi membolehkan persidangan Parlimen diadakan secara hibrid.