Pada hari ini (12 Julai) saya rasa sangat bertuah kerana berpeluang mengucapkan Selamat Hari Jadi yang ke-95 kepada ibu tersayang, Tun Dr. Siti Hasmah Haji Mohd. Ali.
Tidak ramai yang sempat memberi ucapan seperti itu kepada orang tua mereka kerana berapa ramai antara kita yang ibu ayahnya dikurniakan usia yang panjang hingga mencecah 90-an?
Sesungguhnya kepada Allah SWT jua saya bersyukur atas kurniaan kesihatan yang baik bagi ibu. Dalam usia yang begitu lanjut, ibu masih berfikiran tajam, boleh tinggalkan mesej suara yang panjang dalam groupchat keluarga, mampu berjalan ke sana sini, menikmati makanan kegemarannya, bermain piano dan biola serta berseloroh dalam perbualan.
Penglihatannya sahaja kurang baik. Biarpun mata kabur, pendengaran membantu beliau cam orang yang di hadapannya. Saya tidak pernah dengar ibu merungut atau mengeluh kerana penglihatannya yang tidak lagi terang.
Sebaliknya, sering terdengar darinya lafaz syukur ke hadrat Allah kerana masih bernafas dengan deria-deria lain yang membantu mengisi kehidupannya.
Teringat sejarah silam bersama ibu yang memberi kesan kepada pembentukan keperibadian saya sendiri. Penekanannya terhadap pendidikan agaknya terlahir dari Allahyarham datuk saya, Haji Mohd Ali bin Taib yang sangat berfikiran terkehadapan semenjak sebelum merdeka lagi mengenai betapa penting anak-anaknya, termasuk yang perempuan, dididik dengan ilmu yang berguna kepada masyarakat. Kesemua bapa dan ibu saudara saya itu fasih berbahasa Inggeris selain bahasa ibunda.
Antara mereka kemudiannya diangkat menjadi Gabenor Bank Negara, Menteri Besar Selangor, Ketua Turus Angkatan Tentera Malaysia, pegawai kebajikan masyarakat, ketua eksekutif syarikat pembekal kenderaan, arkitek tersohor dan lain-lain.
Wanita Melayu pertama
Tidak lupa juga yang menjadi antara wanita Melayu yang pertama menjadi doktor dan menjadi pakar dalam bidang perancangan keluarga, yang kemudiannya bergelar isteri Perdana Menteri.
Ibu juga mengawasi pembelajaran saya ketika kecil dan sentiasa mendorong saya untuk berusaha gigih sewaktu di sekolah. Dalam banyak-banyak benda yang boleh diberikan oleh ibu bapa kepada anaknya, pendidikan antara yang paling besar nilainya.
Tumpuan pendidikan tidak hanya terhad kepada pembelajaran di kelas sahaja, malah aktiviti sukan dan kreatif seperti muzik turut diutamakan. Saya ingat sewaktu masih kecil lagi melihat ibu main piano di rumah Datuk di Jalan Kemuning, Kuala Lumpur.
Memang ibu sangat berbakat bermain piano. Beliau minat lagu-lagu klasik Melayu dan Inggeris. Atas dorongannya juga, saya, kakak-kakak dan abang belajar bermain piano walaupun kami tidak sehebat ibu.
Dalam usia yang mencecah hampir seabad ibu masih menunjukkan teladan yang terpuji dalam sentiasa mencabar diri untuk melakukan perkara-perkara baharu. Ibu belajar menggesek biola selama dua tahun semasa berusia 15 dan 16 tahun.
Namun, atas sebab-sebab tertentu, beliau tidak lagi memegang alat muzik itu dan sebaliknya terus berhibur dengan piano dan organ elektronik. Ketika berusia 80 tahun, tiba-tiba muncul kembali keinginan untuk mendendangkan lagu dengan gesekan biola.
Selain mendapati kemahiran bermain sudah lama dilupainya dan terpaksa dipelajari semula, ibu juga mendapati kedua-dua tangannya tidak sekuat genggamannya seperti sewaktu berumur belasan tahun. Itu dan faktor usia tidak dijadikan alasan untuk melupakan saja cita-cita tersebut.
Sebaliknya, ibu sanggup menjalani pembedahan kepada kedua-dua tangannya supaya lebih mampu menggenggam biola. Alat muzik itu kini menjadi teman menghiburkan diri setelah berpisah selama 65 tahun! Kita dipesan untuk terus belajar hingga ke liang lahat.
Sesungguhnya ibu contoh terbaik untuk kita menerokai perkara-perkara baharu, keluar dari zon selesa dan melebarkan pengalaman kita untuk manfaat diri dan masyarakat sekeliling.
Ibu juga mempunyai tulisan bersambung atau “cursive” yang berseni dan cantik. Dari dahulu lagi, saya suka melihat ibu menggunakan pen Parker berdakwat untuk menulis dengan lurus walaupun tiada garisan di atas kertas.
Malangnya, saya tidak mewarisi kemahiran itu. Penglihatan yang kurang baik sekarang menyebabkan tulisan ibu tidak selurus dulu tapi masih cantik untuk dibaca. Zaman sekarang ramai di antara kita yang lebih biasa menggunakan papan kekunci komputer atau telefon untuk mengarang ayat.
Kita seolah-olah sudah lupa bagaimana untuk menulis dengan tangan, atau kalau pun menulis, tulisan kita itu sudah jadi macam cakar ayam. Saya selalu terfikir disiplin ibu mencatit kejadian-kejadian harian dalam buku notanya mengukuhkan koordinasi antara minda dan tangan yang mungkin menyumbang kepada kecerdasan mindanya. Ayah juga selalu menulis dalam buku nota yang kecil. Mungkin kita juga boleh meneladani amalan mereka itu.
Antara yang selalu ibu pesan kepada kami ialah untuk sentiasa bersifat empati dan bertimbang rasa dalam mendengar rintihan rakyat yang susah, dan ikhlas membantu mereka.
Masuk ceruk kampung
Sebagai seorang yang terlatih dalam khidmat kesihatan, khususnya kesihatan ibu dan anak, beliau ditugaskan untuk meningkatkan kesedaran di kalangan orang kampung di Daerah Kubang Pasu (termasuk di kawasan yang kini menjadi Parlimen Jerlun) perihal pentingnya diamalkan perancangan keluarga.
Banyak cerita-cerita daripada ibu sendiri, dan juga daripada orang-orang lama daerah itu mengenai aktiviti beliau dalam kampung. Antaranya berkaitan Tok Penghulu yang terpaksa memboncengkan ibu atas motosikal masuk ke ceruk kampung melalui jalan tanah, batas bendang dan denai. Maklumlah di zaman itu mana ada jalan berturap tar sampai ke kampung?
Tiang lampu pun tiada, klinik kesihatan jauh, bekalan air pun tidak ada seperti sekarang. Kita boleh bayangkan apakah pengalaman yang dilalui seorang doktor wanita muda yang keluar masuk kampung untuk menerangkan perkara penting seperti perancangan keluarga kepada masyarakat di situ.
Pada masa itu, hampir semua kerja-kerja kebidanan dilakukan oleh Mak Bidan kampung. Susah hendak jumpa seorang doktor perempuan Melayu di waktu itu. Maka tentunya aktiviti Dr. Siti Hasmah di kawasan pendalaman itu menarik perhatian.
Dengan sifatnya yang peramah lagi berilmu, akhirnya beliau berjaya menambat hati bidan-bidan kampung untuk dilatih dengan kaedah-kaedah moden bagi menjamin kadar kematian bayi semasa lahir dapat dikurangkan secara berkesan. Agaknya berapa ramai nyawa bayi telah beliau selamatkan?
Hasil daripada pendidikan awal di rumah dan sekolah, terlahir dalam peribadi ibu sifat yang tegas dalam kesantunan, bermaruah sambil merendah diri, teguh berprinsip sambil lemah lembut dan berkeyakinan tinggi bahawa sifat tenang dan sabar akan membawa kejayaan.
Maka dengan itu beliau mudah didampingi kerana sifat peramah dan keibuannya, menjadikan sesiapa sahaja yang beliau tegur kerana kesilapan yang dilakukan tidak rasa marah atau malu, tetapi segan dan akur kepadanya.
Ya, mungkin juga sifat seperti ini mudah untuk diambil kesempatan oleh pihak-pihak beragenda. Bagaimanapun, saya lihat selalunya ibu akan mencapai hasratnya kerana keikhlasan pendirian dan sikap meletakkan kepentingan orang lain mendahului dirinya.
Ibu menulis dalam buku “My Name Is Hasmah” bahawa sifat sivik sangat ditekankan sewaktu beliau di bangku sekolah lagi. Selain sains, matematik, Bahasa Inggeris dan Jawi, nilai-nilai murni seperti disiplin, hormat kepada orang tua dan guru, berketerampilan kemas, antara lain, tidak kurang pentingnya.
Agaknya kerana sudah tidak ramai lagi di kalangan masyarakat kita yang seusia beliau, sifat hormat itu kini beliau tujukan ke arah orang yang lebih muda. Pembudayaan sivik ini sangat berkesan di negara-negara timur khususnya Jepun. Saya amat berharap kesedaran sivik itu akan sentiasa mempengaruhi setiap tindakan kita.
Saya berterima kasih kepada ibu kerana merelakan saya ke Maktab Rendah Sains MARA di Pengkalan Chepa, Kelantan selama lima tahun bermula 1977. Agaknya walaupun bimbang mengenai keupayaan saya untuk menyesuaikan diri dalam suasana sekolah berasrama penuh, ibu tenangkan hati kerana tahu lama kelamaan saya akan biasa berada jauh dari rumah dan keluarga.
Pengalaman saya di MRSM itu membina keyakinan diri yang banyak membantu saya apabila ibu dan ayah menghantar saya melanjutkan pelajaran ke luar negara iaitu Tokyo, Jepun. Di situ, saya dapat menyelami budaya ketimuran yang membentuk perwatakan diri.
Islam mengajar kita untuk sentiasa mendapat restu ibu dalam apa jua yang kita lakukan. Malah, oleh sebab kedudukan seorang ibu itu tinggi tarafnya, maka doa ibu untuk anaknya juga tinggi kemungkinan dimakbulkan Allah.
Dalam apa keadaan bermasalah yang saya hadapi dalam hidup, lebih-lebih lagi semasa berada di perantauan, saya sentiasa tenang dalam kepercayaan bahawa doa ibulah yang melindungi saya dari mudarat.
Kalau sewaktu masih kecil saya takut dengan bayang-bayangan sewaktu hendak tidur, saya mampu tenangkan fikiran kerana yakin doa ibu agar saya dilindungi akan dimakbul Tuhan. Dengan itu, boleh saya katakan bahawa keyakinan diri yang ada pada saya dalam menghadapi apa keadaan getir sekalipun datangnya dari berkat doa ibu dari kecil sehinggalah dewasa ini.
Saya hanya mampu membalasnya dengan doa kepada Allah SWT supaya ibu dan ayah juga diberkatiNya di dunia dan akhirat. Itulah sebaik-baik balasan yang boleh dibuat oleh anak untuk kedua orang tuanya.
Ibu dan ayah saya dibesarkan dalam suasana keluarga yang penuh kasih sayang. Kami juga memupuk hubungan yang sama bagi keluarga masing-masing. Walaupun setiap antara kami akhirnya mengikut haluan kerjaya yang berbeza, namun hubungan keluarga tetap disemarakkan termasuk antara anggota keluarga besar kami.
Hubungan keluarga seperti ini menjadi batu asas yang sangat penting dalam membentuk masyarakat madani. Sifat bantu membantu antara anggota masyarakat menjamin agar tiada siapa pun yang kebajikannya terlepas pandang, terabai dalam mengharungi cabaran hidup.
Rezeki melimpah ruah
Dengan rezeki melimpah ruah yang dikurniakan Allah ke negara kita ini, tidak sepatutnya muncul masalah individu atau keluarga yang hidup susah dan sengsara. Sememangnya kerajaan memegang tanggung jawab untuk menjaga kebajikan rakyat, dan ada ketika mereka berjaya, ada juga ketika gagal. Namun, seperti keluarga yang besar, masyarakat juga berperanan untuk menjamin tiada siapa yang tercicir.
Pandemik Covid-19 ini mencabar institusi keluarga sampai tahap yang belum pernah berlaku dalam sejarah dunia. Kalau diterima pendirian bahawa kuatnya asas keluarga itu bersama tekad “kita jaga kita” dapat menyumbang kepada kelangsungan hidup seluruh rakyat negara, maka menjadi harapan saya setiap ibu dan ayah memegang amanah secara jujur untuk mempertahankan kesejahteraan anggota keluarga mereka.
Dari situ, masyarakat besar juga boleh dianggap sebagai keluarga yang betul-betul menjaga setiap ahlinya. Begitu juga di peringkat negara dan dunia.
Bila ditanya beberapa kali mengenai siapa yang paling berhak kita berbuat baik kepadanya, tiga kali Rasulullah SAW menjawab “Ibumu” sebelum akhirnya menjawab “Ayahmu”.
Berpegang kepada nasihat Nabi SAW itu, marilah kita sama-sama mengingati sejenak pengorbanan besar yang dilakukan oleh setiap insan yang bergelar ibu dan mendoakan kebaikan baginya.
Moga-moga Allah SWT memakbulkan doa kita itu. Selamat ulang tahun kelahiran yang ke-95, ibu.