Mana pejuang Melayu? Ramai kelaparan beratur ambil makanan dari gereja, persatuan Buddha

Oleh ARIF ATAN

Peranan pemimpin Melayu Islam terutama dalam kerajaan Perikatan Nasional (PN) dipersoal ketika pandemik Covid-19 menyebabkan ramai rakyat terjejas sehingga terputus bekalan makanan.

Tular di media sosial, deretan orang Melayu Islam berbaris panjang untuk mengambil makanan di gereja impak pelaksanaan siri Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang berlangsung berbulan-bulan.

Dalam masa sama, tular juga rakaman video orang Melayu Islam mengambil bantuan barangan dapur dari Persatuan Buddha di Kelantan baru-baru ini.

Pengguna Facebook, Aliff Aziz bagaimanapun berpendapat hal itu tidak menjadi kesalahan pun di pihak memberi dan menerima bantuan.

“Namun, dalam konteks ini mana pergi pejuang Melayu Islam? Jangan mulut hanya berbicara soal perjuangan Melayu dan Islam tetapi hakikatnya orang Melayu ramai yang kelaparan.

“Dalam kerajaan hari ini hampir 97 peratus adalah dari kalangan orang Melayu dan Islam. Mana pergi mereka ini, dulu bukan main cakap soal Melayu Cina… Melayu Cina… Melayu Cina.

“Hari ini, ramai orang Melayu yang kelaparan, merempat dan melarat. Apa yang mereka buat?” bidas Aliff lagi.

Institusi zakat 

Sementara itu, Afizah Zulfie menceritakan pengalamannya sebagai penerima bantuan zakat yang sebelum ini berdepan dengan pelbagai kepayahan berurusan dengan pejabat zakat.

Tampil mengulas rakaman video orang Melayu di Kelantan yang berbaris panjang untuk menerima bantuan dari Persatuan Buddha itu, beliau berkata, tidak menafikan ada banyak NGO Melayu yang membuat kebajikan tampil memberi sumbangan makanan.

Namun, katanya, institusi zakat dan sebahagian pertubuhan Islam amat lemah dalam menguruskan permohonan bantuan daripada golongan yang benar-benar memerlukan.

“Sebagai penerima bantuan zakat, saya pun pernah merasai apa yang disebut kritikan sinis, pandangan sinis kakitangan pejabat zakat di mana waktu kita benar-benar memerlukan, pelbagai soalan dan proses permohonan terpaksa dilalui untuk mendapatkan bantuan yang belum tentu lulus.

“Kadang permohonan pertama ditolak sebab dikatakan dokumen diberi tidak cukup. Permohonan kali kedua kadangkala senyap tanpa berita sehinggalah kita terpaksa pergi bertanya, merayu.

“Masa itu akan ada suara-suara sinis kedengaran (dari kakitangan pejabat zakat). Sedih. Inilah kelemahan institusi zakat,pertubuhan Islam kita.

“Proses, proses yang tidak pernah habis sampai rakyat yang berhak menerima bantuan terpaksa merempat, berhutang atau memilih jalan mencari gereja mahupun NGO bukan Islam.

“Demi Allah, pengalaman hidup saya sendiri saat ditimpa kesusahan dimana terpaksa menumpang hidup di rumah abang ipar Hindu,” luah Afizah lagi.