Minggu lalu sahaja, berlaku dua peristiwa besar melibatkan Umno. Pertama, perlantikan dua pemimpin Umno, masing-masing mengisi jawatan pemimpin nombor dua negara dan menteri kanan.
Peristiwa kedua pula adalah penarikan sokongan Umno terhadap Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Pelantikan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan Datuk Seri Hishammuddin Hussein itu diumumkan pada Rabu lalu, iaitu beberapa jam sebelum Mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno berlangsung bagi membuat keputusan mengenai pendirian parti itu terhadap kerajaan.
Dalam satu sidang akhbar selepas mesyuarat tersebut, Presiden Umno, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi mengumumkan keputusan Umno untuk menarik sokongan serta-merta terhadap Perdana Menteri.
Walau bagaimanapun, ahli-ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) dalam satu kenyataan dilaporkan mengumumkan sepakat kekal menyokong Kerajaan Perikatan Nasional (PN) dan Muhyiddin selaku Perdana Menteri.
Namun begitu, Ahli Parlimen Pekan, Datuk Seri Najib Tun Razak menafikan beliau antara nama yang terlibat dalam kenyataan bersama yang menyokong Kerajaan PN itu.
Dan pada 9 Julai, Ismail Sabri memasuki Perdana Putra, Putrajaya bagi memulakan tugasnya sebagai Timbalan Perdana Menteri.
Menariknya, Ahmad Zahid dilaporkan telah mengadakan pertemuan dengan Ismail Sabri.
Pastinya, perkembangan politik tanah air terutama melibatkan parti-parti yang berada dalam kerajaan akan menjadi lebih menarik dari semasa ke semasa.
Persoalannya, apakah impak daripada perlantikan jawatan timbalan perdana menteri dan menteri kanan ini kepada Umno? Adakah ia memperkukuhkan parti ataupun lebih jauh memecah-belahkan parti tersebut?
Bagi penganalisis politik, Profesor James Chin, jawapannya adalah mudah.
Beliau berkata, tindakan memberi kuasa dan kedudukan lebih besar kepada Ismail Sabri dan Hishammuddin dapat menarik ahli-ahli Umno yang kanan untuk cenderung ke ‘sebelah sana’.
“Buat masa ini, kumpulan-kumpulan dalam Umno ini sedang bertembung,” katanya.
Beliau menambah, masih terlalu awal untuk mengatakan kumpulan mana yang akan menang.
“Kita akan tahu apabila kita semakin hampir dengan sidang Parlimen pada 26 Julai ini,” katanya lagi.