Pendaftaran Pejuang pada 8 Julai lalu adalah selari dengan keputusan mahkamah yang memberi tempoh 14 hari kepada Kementerian Dalam Negeri, tegas Ketua Penerangan Pejuang, Ulya Aqamah Husamudin.
Menurutnya, keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur itu susulan rayuan pendaftaran di pihak Pejuang.
“Tiada perbincangan belakang atau percaturan politik. Keputusan ini adalah hasil keputusan mahkamah,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Untuk rekod, Hakim Ahmad Kamal Md Shahid pada 25 Jun lalu memerintahkan Menteri Dalam Negeri memutuskan permohonan Pejuang untuk didaftarkan sebagai parti politik dalam tempoh 14 hari mulai tarikh penghakiman.
Dalam masa sama, Ulya menafikan wujudnya kerjasama antara Pejuang dan Bersatu seperti dakwaan pihak tertentu.
Beliau berpendapat terdapat beberapa cubaan untuk mencalar reputasi dan memberi persepsi seolah-olah Pejuang akan berkerjasama dengan Bersatu kembali.
“Kami fokus kepada berbincang dan cari jalan penyelesaian kepada Covid-19 dan masalah-masalah kesihatan, ekonomi serta sosial yang menjadi keutamaan rakyat Malaysia,” ujarnya lagi.