Ketika kes jangkitan Covid-19 semakin membimbangkan, Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dilihat terus istiqamah menulis menyerang pembangkang.
Menerusi Minda Presiden Pas yang dimuatnaik di Facebook rasminya hari ini, Ahli Parlimen Marang itu menyentuh tentang keselamatan dan ekonomi dalam berdepan ancaman pandemik.
Kali ini, dia menempelak golongan pengkritik kerajaan Perikatan Nasional (PN) apabila membandingkan pihak tersebut dengan tupai dan kera.
Tegas Duta Khas Perdana Menteri ke Timur Tengah itu, kerajaan PN telah bertindak melakukan kawalan pandemik tanpa mematikan kegiatan ekonomi bagi memelihara keperluan asasi rakyat dan negara.
Namun, kata bekas Menteri Besar Terenggangu sepenggal itu, terdapat pihak yang hanya mencari kesalahan dan kelemahan kerajaan PN.
“Walaupun adanya pelbagai bentuk sekatan, namun kerajaan tidak mematikan aktiviti kelangsungan hidup dengan cara yang terkawal.
“Hanya mereka yang kerjanya mencari kesalahan dan kelemahan sahaja, memungut senarai sekatan tanpa peduli akan keperluan untuk kegiatan berjalan di lapangan rakyat.
“Binatang tupai dan kera memilih buah-buahan yang baik, namun ada manusia yang mencari buah-buahan yang buruk untuk dijual.
“Sangat malang kalau ada orang yang terus tertipu membelinya dan terpengaruh dengannya,” ujar Hadi lagi.