Majlis Peguam Malaysia mendesak agar pihak polis tidak menyekat cadangan kakitangan perubatan dan doktor yang bercadang untuk memakai baju hitam bagi membantah layanan yang diberikan kepada para doktor kontrak.
Menurut Presidennya, A G Kalidas, tindakan polis menyiasat mereka yang terlibat dengan kempen Code Black and Black Monday tidak sewajarnya berlaku.
Ini kerana tindakan itu akan melanggar hak asasi manusia yang dibenarkan oleh Perlembagaan negara ini.
“Majlis Peguam Malaysia sentiasa menyokong kebebasan bersuara dan kebebasan berekspresi yang menjadi komponen asas kepada sistem demokrasi,” kata Kalidas dalam satu kenyataannya.
Mulai Isnin 1 Julai lalu, orang ramai digalakkan memakai baju hitam apabila ke pejabat dan menukar status dalam media sosial sebagai satu solidariti kepada nasib yang dialami oleh doktor kontrak di negara ini.
Inisiatif itu yang dianjurkan Persatuan Perubatan Malaysia (MMA) Bahagian berkaitan pelatih, pegawai dan pakar perubatan (Schomos), menggalakkan orang ramai menukar gambar profil dalam media sosial mereka kepada hitam putih atau satu warna mulai 1 Julai hingga 12 Julai lalu.