Tiga aktivis masyarakat disiasat oleh polis berikutan tindakan sekumpulan individu berkumpul di Dataran Merdeka semalam sambil menaikkan bendera hitam dan membawa patung yang menyerupaikan mayat yang dikafankan.
Menurut kenyataan Suara Rakyat Malaysia (Suaram), antara yang disiasat adalah Mohammad Alshatri, Senior Koordinator Suaram.
Dua lagi adalah Mohd Ashraf, Pegawai Program Bersih 2.0 dan Taufiq Azhar dari NGO Pemuisi.
Mereka disiasat di bawah Seksyen 9(5), Akta Perhimpunan Aman 2012.
Semalam 30 individu telah berkumpul di Dataran Merdeka dengan membawa bendera hitam, banner bertulis “KITA MATI DALAM DERHAKA #KELUAR DAN LAWAN” dan lima patung menyerupai jenazah yang dikafan.
Perhimpunan yang dilakukan merupakan anjuran Sekretariat Solidariti Rakyat, kata Suaram dalam kenyataan menerusi Twitter mereka malam tadi.
Dalam perhimpunan itu, 14 bendera hitam berkibar dan lima patung mayat berbalut kain kafan putih dibentangkan di Dataran Merdeka tanda bantahan ‘flash mob’ anjuran Sekretariat Solidariti Rakyat (SSR).
Pada satu kenyataan, kumpulan itu berkata patung mayat tersebut menunjukkan peningkatan jumlah kematian akibat Covid-19, serta kes bunuh diri.
Di samping patung itu, sepanduk bertulis “Kita mati dalam derhaka” dengan hashtag #keluardanlawan.
Sepanduk itu berilhamkan puisi nukilan Kassim Ahmad, Dialog yang berakhir dengan ayat: “Kian lama kita mati dalam setia, kali ini kita hidup dalam derhaka!”
SSR menegaskan bahawa kredibiliti kerajaan Perikatan Nasional dalam membendung pandemik Covid-19 telah gagal malah nasib rakyat yang mengangkat bendera putih dihina bahkan angka Covid-19 semakin meruncing dan meningkat.
“Sikap perdana menteri dan menteri-menteri kerajaan yang terus menerus menyindir kempen solidariti bendera putih rakyat adalah sangat tidak peka dan prihatin keluh kesah rakyat yang sedang terhimpit dan tertekan akibat tiada pendapatan atau mati akibat terkena jangkitan Covid-19.
“Dan perdana menteri masih boleh buat lawak bodoh untuk menaikkan bendera biru,” katanya.