Masukkan Negeri Sembilan dalam Operasi Lonjakan Kapasiti, pohon MP Seremban

Oleh BORHAN AHMAD

Ahli Parlimen Seremban, Anthony Loke Siew Fok meminta Negeri Sembilan dimasukkan dalam program “Operasi Lonjakan Kapasiti” (Operation Surge Capacity) untuk memastikan semua warga dewasa yang telah mendaftar dengan My Sejahtera di Negeri Sembilan menyertai Kuala Lumpur dan Selangor divaksinasi untuk dos pertama sebelum 1 Ogos 2021.

Dalam satu kenyataannya, Anthony berkata, ini kerana kes Covid-19 di Negeri Sembilan sudah melonjak dengan ketara sebagaimana Kuala Lumpur dan Selangor.

Katanya, untuk 5 hari berturut-turut, kes positif Covid-19 di Negeri Sembilan mencecah angka melebihi 1,000 kes setiap hari iaitu; 13 Julai (1,033 kes), 14 Julai (1,537), 15 Julai (1,603), 16 Julai (1,619) dan 17 Julai (1,280).

“Keadaan ini amat membimbangkan rakyat di Negeri Sembilan dan langkah yang lebih agresif perlu diambil oleh Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri untuk mengawal keadaan daripada menjadi lebih teruk,” katanya.

Sebelum ini, Menteri Penyelaras Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan, Khairy Jamaluddin telah mengumumkan pelaksanaan “Operasi Lonjakan Kapasiti” (Operation Surge Capacity) untuk memastikan semua warga dewasa yang telah mendaftar dengan My Sejahtera di Kuala Lumpur dan Selangor divaksinasi untuk dos pertama sebelum 1 Ogos 2021.

“Saya ingin menyeru Khairy supaya memperluaskan “Operasi Lonjakan Kapasiti” untuk merangkumi Negeri Sembilan dalam operasi tersebut memandangkan Negeri Sembilan merupakan antara 3 negeri teratas yang mencatatkan kes positif tertinggi dengan Selangor dan Kuala Lumpur.

“Sebagai Ahli Parlimen Rembau yang merupakan kawasan dalam Negeri Sembilan, saya yakin beliau juga amat memahami keadaan di Negeri Sembilan dan merasai kebimbangan rakyat diwakilinya,” katanya.

Pendekatan kerjasama erat di antara Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri dalam meningkatkan kadar vaksinasi seperti yang dilihat di Selangor patut dilaksanakan juga di Negeri Sembilan.

“Saya yakin Kerajaan Negeri Sembilan akan memberikan kerjasama yang sepenuhnya dalam usaha tersebut,” katanya.

Pada masa yang sama, beliau juga menyeru Khairy untuk membenarkan semua warga emas yang berumur 60 tahun ke atas di Negeri Sembilan untuk mendapat suntikan vaksin secara “walk in” seperti yang telah dilaksanakan di Lembah Klang sejak semalam.

“Strategi untuk melaksanakan operasi bersepadu di Selangor, Kuala Lumpur dan Negeri Sembilan secara serentak ini diyakini mampu mengawal keadaan dalam masa beberapa minggu dan ia secara langsung akan membantu keadaan di seluruh negara memandangkan 3 negeri ini menyumbang hampir 60% daripada jumlah keseluruhan kes kebelakangan ini,” katanya.