Harga durian dijangka akan jatuh sehingga RM5 sekilo untuk durian kampung tidak lama lagi, dakwa penjual durian di Ibu Negara.
Ini kerana, sekarang ini harganya sudah jatuh ke RM8 sekilo berbanding sekitar RM15 sekilo dua minggu lalu ketika musim durian kali ini bermula.
“Saya ingat tak lama lagi sampai RM5 sekilo. Sekarang saya dah jual RM8 sekilo untuk durian kampung A,” kata seorang penjual durian ketika ditemui di Rawang.
Harga Durian Musang King sudah ada dijual dengan harga RM32 sekilo berbanding RM50 sekilo ketika awal musim ini.
Durian Kampung Kahwin masih kekal dengan harga RM15 sekilo manakala jenama durian yang lain sekitar RM25 hingga RM35 sekilo.
Selain gerai-gerai tepi jalan, durian juga dijual secara online sekarang apabila beberapa laman durian online dibuka sekarang.
Antaranya Ezydurian yang berpusat di Batu Caves, Selangor.
Mereka mengenakan caj penghantaran mengikut jarak iaitu RM5 untuk jarak kurang dari 10 KM dari kedai mereka di Batu Caves.
Caj penghantaran boleh naik sehingga RM25 untuk yang berjarak 41 – 50 KM dari tempat mereka.
Durian paling mahal adalah Black Thorn iaitu RM260 untuk sekilogram isi durian dari jenis ini.
Isi durian Musang King pula dijual dengan harga RM140 sekilo, Tekka (RM120), D24/X0 (RM70) dan Udang Merah (RM85).
Di Kuala Terengganu pula, Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (Fama) negeri menjangka harga durian di negeri ini menurun sehingga RM3 sekilogram bermula awal Ogos ini.
Penurunan harga itu berikutan bekalan durian yang dijangka terlalu banyak susulan banyak kebun mengeluarkan hasil.
Pengarah Fama negeri, Che Ghani Che Wan berkata, pihaknya menyasarkan sebanyak 7,080 tan durian akan dihasilkan di negeri ini hingga September tahun ini.
“Sekarang sudah bermula musim durian gugur di Terengganu dan ia bermula di Besut dan beberapa kawasan di Kuala Nerus dan Kuala Terengganu.
“Pada awal Ogos nanti dijangka semua dusun dan kebun durian di negeri ini akan mengeluarkan hasil serentak.
“Sekali gus menyebabkan harga durian di kebun menurun daripada RM6 sekilogram kepada RM3 sekilogram,” katanya ketika ditemui pada Program Tanggungjawab Sosial (CSR) Kementerian Pertanian Dan Industri Makanan (MAFI) melalui Fama di Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 (PKRC) Universiti Teknologi Mara (UiTM) Chendering, di sini tiga hari lalu, lapor Sinar Harian.
“Sekarang durian agak mahal kerana diambil dari luar Terengganu seperti di Johor.
“Harga menjadi mahal kerana penjual mengambil kira kos pengangkutan mereka selain durian dijual ialah durian klon yang memang berharga tinggi berbanding durian kampung.
“Berkemungkinan jika harga durian di kebun terlalu rendah, Fama akan turut membantu memasarkan durian itu di kawasan yang mempunyai permintaan tinggi supaya tidak berlaku lambakan,” katanya.