Sarawak membenarkan pelaksanaan solat sunat Aidiladha dengan had jemaah ditetapkan mengikut kapasiti masjid dan surau esok.
Menurut Majlis Islam Sarawak (MIS), pelaksanaan itu adalah disebabkan penguatkuasaan Pelan Pemulihan Negara (PPN) fasa 2 di negeri ini.
MIS menegaskan, bagi Masjid Jamek Negeri Sarawak had jemaah yang dibenarkan adalah tidak melebihi 500 orang.
“Manakala masjid di peringkat bahagian, daerah serta daerah kecil, jemaah dibenarkan adalah tidak melebihi 150 orang dan di surau tidak lebih 70 orang.
“Kebenaran had jemaah dibenarkan ini termasuk pegawai masjid dan jawatankuasa pengurusan masing-masing ,” jelas MIS dalam satu kenyataan di Kuching.
Malah, MIS mengingatkan agar semua jemaah mengikut prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan seperti memakai pelitup muka dan mengimbas suhu badan ketika memasuki masjid.
“MIS juga ingin memaklumkan bahawa ibadah korban dan ziarah adalah tidak dibenarkan,” ujar kenyataan itu.
Bagaimanapun, kata MIS lagi mereka yang tinggal di dalam kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) pula, solat sunat Aidiladha di masjid atau surau adalah tidak dibenarkan.