Apa ke gatal Bank Negara nak jaga Tabung Haji pula?

Oleh BORHAN AHMAD

Menteri Agama akhirnya bersuara hari ini berkenaan isu Tabung Haji diletakkan di bawah Bank Negara. Alasan beliau, ia perlu dilakukan bagi menambahbaik tadbir urus dan juga mengelakkan pemusatan kuasa yang terlalu besar (Menteri Agama mempunyai kuasa pemutus dalam Akta Tabung Haji 1995)

Sebenarnya kalau nak mengelak pemusatan kuasa, itu bukan cara yang betul. Meletak Tabung Haji di bawah kawalan Bank Negara seolah-olah menyerahkan kuasa pemutus polisi TH dari Menteri Agama ke tangan Menteri Kewangan pula.

Nak elak pemusatan kuasa ni sebenarnya senang sahaja. Ada dua cara, Barat dan Islam.

Di Barat, mereka mewujudkan sistem Dual Board pada abad ke 19 bagi mengelakkan pemusatan kuasa dan menambah baik pemantauan korporat. Syarikat-syarikat yang tersenarai dalam Bursa Saham Jerman contohnya diwajibkan mempunyai sistem dual board. Antara syarikat yang terkenal dan mengamalkan sistem ini adalah Adidas.

Dual board bermakna kewujudan dua lembaga iaitu Management Board dan Supervisory Board. Management Board memantau operasi syarikat sementara Supervisory Board pula memantau kuasa2 serta keputusan Management Board.

Kaedah ini mengelakkan salahguna kuasa serta membolehkan Supervisory Board menasihati Management Board dalam menentukan strategi jangka panjang syarikat.

Islam lebih awal menyelesaikan isu ini. Dalam Islam, telah wujud konsep Wilayatul Hisbah dan Wilayatul Mazalim 1000 tahun sebelum Jerman memperkenalkan konsep Dual Board.

Wilayatul Hisbah berfungsi bagi mengawasi perjalanan pengurusan sementara Wilayatul Mazalim pula adalah sistem yang mengawal kuasa dan mengadili pemerintah.

Sekiranya mahu mengelakkan pemusatan kuasa Menteri Agama dalam isu Tabung Haji, maka apa yang perlu dibuat cumalah menubuhkan sebuah Jawatankuasa Khas Parlimen yang dianggotai Ahli-Ahli Parlimen Muslim.

Jawatankuasa ini boleh bersidang secara berkala bagi memantau keputusan-keputusan yang dibuat oleh Menteri Agama dalam isu Tabung Haji. Disebabkan Menteri ini adalah seorang ahli Dewan Rakyat / Negara, maka sudah tentulah beliau akan tertakluk kepada etika dan hukuman Parlimen sekiranya gagal menyempurnakan tanggungjawabnya di hadapan Jawatankuasa tersebut.

Begitu juga sekiranya Menteri Agama berhajat mahu menambah baik tadbir urus Tabung Haji dengan mengambil kepakaran Bank Negara. Maka yang perlu dibuat hanyalah menyediakan kuota wakil Bank Negara (BNM) dalam Lembaga Pengarah Tabung Haji atau mewujudkan jawatan khas bagi wakil BNM dalam struktur operasi syarikat.

Sebagai contohnya, jawatan Ketua Audit atau Ketua Pegawai Kewangan (CFO) Tabung Haji boleh dikhususkan kepada wakil daripada BNM.

Meletakkan Tabung Haji di bawah kawalan BNM sebenarnya tidak menyelesaikan masalah. Ia memberikan bebanan tambahan kepada Bank Negara dan menyukarkan Tabung Haji bagi memenuhi falsafah kewujudannya sebagai tunjang ekonomi umat.

Macammana Tabung Haji nak menjadi pioneer dalam pelaburan sektor ekonomi negara sekiranya wujud sekatan-sekatan sepertimana regulasi ke atas bank-bank lain pada hari ini

Satu lagi, Menteri Kewangan tu bab keuntungan terakru moratorium pun dia tak boleh arah bank-bank untuk buat. Apa ke gatal nak menambah kerja jaga Tabung Haji pula.