Firma audit terbesar dunia iaitu KPMG yang sebelum ini menjadi badan audit 1MDB, perlu diganti dari terus dilantik sebagai juruaudit bagi syarikat-syarikat di bawah kawalan langsung kerajaan.
Ini susulan laporan media minggu lalu bahawa kerajaan Malaysia, Menteri Kewangan (Diperbadankan), 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan empat anak syarikatnya, telah memfailkan saman terhadap 44 rakan kongsi firma perakaunan KPMG bagi menuntut AS$5.6 bilion (RM23.47 bilion), atas dakwaan melanggar kontrak dan cuai dalam pengauditan penyata kewangan 1MDB bagi tahun 2010 hingga 2012.
Setiausaha Publisiti Kebangsaan DAP, Tony Pua berkata, kerajaan telah berusaha mencapai penyelesaian dengan KPMG dengan memberi tempoh waktu yang paling lama, dan jelas bahawa juruaudit dengan jenama ‘Top 4’ global itu tidak bersedia memenuhi tuntutan kerajaan Malaysia.
Katanya, KPMG tidak seperti firma akaun Deloitte Malaysia yang secara langsung atau tidak langsung telah menerima kesalahan mereka sebagai juruaudit 1MDB bagi tahun kewangan yang berakhir pada 31 Mac 2013, 2014 dan 2015. Deloitte juga telah bersetuju untuk membayar pampasan sebanyak AS$ 80 juta kepada Malaysia.
Untuk rekod, KPMG bertanggungjawab ke atas akaun 1MDB bagi tahun 2010, 2011 dan 2012, sementara Deloitte mengurus penyata kewangannya bagi tahun 2013 dan 2014 selepas perkhidmatan KPMG ditamatkan kerana didakwa meminta maklumat lanjut mengenai aset 1MDB.
“Oleh kerana KPMG menolak untuk menyelesaikan masalahnya dengan kerajaan, kerajaan akhirnya mengambil keputusan resmi untuk menuntut dari para auditor di mahkamah atas ganti rugi.
“Langkah selanjutnya yang harus diambil oleh kementerian kewangan adalah dengan membuang KPMG sebagai juruaudit untuk mana-mana syarikat di mana kerajaan mempunyai kawalan pemegang saham secara langsung.
“Di samping itu, KPMG Malaysia mesti dikecualikan daripada menyertai tender kerajaan sehingga perkara di atas dapat diselesaikan di Mahkamah,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Tony yang juga Ahli Parlimen Damansara itu berkata, kegagalan juruaudit untuk menjalankan profesionalisme dalam tugas mereka untuk melindungi pembayar cukai Malaysia adalah perkara yang sangat serius.
Justeru tegasnya, satu contoh mesti dibuat untuk memastikan tidak ada juruaudit dari entiti kerajaan yang akan berkelakuan sama seperti KPMG yang boleh menjadikan Malaysia kleptokrasi terbesar dunia kerana skandal 1MDB bernilai RM50 bilion.
Terdahulu, dalam pernyataan tuntutan dari kerajaan Malaysia, plaintif mendakwa antara tahun 2009 hingga 2014, sebanyak AS$5.6 bilion telah dilesapkan daripada 1MDB atau anak-anak syarikatnya di bawah arahan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan dilaksanakan oleh pengurusan 1MDB, melalui pelbagai transaksi memfraud yang dilakukan terhadap 1MDB untuk manfaat Najib dan sekutunya, yang bertentangan dengan kepentingan 1MDB, Menteri Kewangan (Diperbadankan) dan negara ini.
“Daripada dana melebihi A$5.6 bilion yang dilesapkan daripada 1MDB dan anak syarikatnya di bawah arahan Najib, jumlah penuh sebanyak AS$3.197 bilion (RM13.4 bilion) telah dilesapkan, dalam tahun-tahun kewangan ketika KPMG merupakan juruaudit 1MDB, iaitu pada tahun kewangan 2010, 2011 dan 2012,” menurut kesemua plaintiff dalam saman itu.