Jawatankuasa Pendidikan Pakatan Harapan (JKPPH) menuntut Persidangan Khas Parlimen yang akan berlangsung selama 5 hari bermula 26 Julai ini memasukkan pembentangan perancangan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dan Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) sebagai antara agenda mesyuarat.
Menurut Jawatankuasa berkenaan, Ahli Parlimen perlu diberikan ruang untuk bertanya, berbahas dan memberikan pandangan terhadap perancangan yang telah dibentangkan oleh KPM dan KPT, bagi menghormati peranan Parlimen sebagai badan semak imbang tertinggi negara.
JKPPH menegaskan bahawa rakyat telah hilang keyakinan kepada kerajaan kerana KPM dan KPT di waktu ini dilihat sebagai hilangan arah tuju dalam menguruskan sistem pendidikan negara.
“Ketiadaan pembentangan dari kedua-dua kementerian ini di dalam sidang khas parlimen hanya akan menguatkan lagi pandangan tersebut,” katanya dalam kenyataan.
Pengumuman Yang DiPertua Dewan Negara dan Dewan Rakyat berkaitan Persidangan Khas Parlimen yang akan diadakan mulai 26 Julai 2021 sehingga 2 Ogos 2021 berdasarkan notis aturan mesyuarat yang dikeluarkan oleh Setiausaha Dewan Rakyat bagi memakluman agenda Persidangan Khas Parlimen kepada semua ahli parlimen.
JKPPH kecewa apabila dalam aturan tersebut hanya pembentangan perancangan kerajaan terkait dengan Program pencegahan Covid-19, Program Vaksinasi, Darurat, dan Majlis Pemulihan Negara sahaja yang dijadualkan dalam tempoh 5 hari persidangan khas tanpa adanya pembentangan berkaitan keadaan pendidikan negara di bawah KPM dan KPT.
“Sidang ini amat penting untuk rakyat melalui ahli parlimen mereka mengetahui perancangan kerajaan berhubung isu pendidikan melalui pembentangan situasi pendidikan negara dan perancangan yang telah dirangka oleh pihak KPM dan KPT.
“JKPPH berpandangan, isu pendidikan negara sama ada melibatkan sekolah mahupun universiti di kala wabak Covid-19, sama pentingnya dengan isu kesihatan, keselamatan dan ekonomi serta seharusnya diangkat sebagai agenda dalam persidangan khas ini,” katanya.