Jamaludin Zakaria warga emas yang didakwa telah ditampar penghulu di Kampung Salor Pasir Mas tidak akan memaafkan tindakan penghulu dari parti Pas itu.
Di dalam temubual secara maya bersama Ketua Pemuda AMANAH Kelantan Hazmi Hassan Jamaludin tidak berpuas hati dengan tindakan penghulu terbabit yang menamparnya di depan orang ramai.
“Saya tidak puas hati saya nak dakwa juga penghulu kampung ini. Saya malu ditampar depan orang ramai. Saya tidak akan maafkan,” katanya yang berasal dari Kedah.
Beliau yang menetap di Kelantan sejak tahun 2010 baru sahaja kehilangan isteri menceritakan tindakan penghulu yang tiba-tiba muncul di depannya dan terus menampar beliau.
“Saya keluar nak pergi beli rokok duduk di satu tempat tiba-tiba dia datang terus tampar saya, tidak tahu apa sebab.
“Saya dapat cek daripada YB Salor RM300, saya masukkan cek ke akaun Affin Bank saya selepas beberapa hari saya semak duit belum ada dalam akaun saya dan saya dimaklumkan duit itu ditarik balik. Maknanya saya dapat cek kosong.
“Saya jumpa semula dengan tok penghulu jelaskan cek itu kosong, dan saya beritahu saya dianiaya dan mahu jumpa dengan YB,” katanya.
Beliau turut memaklumkan klip video yang tular itu dirakam oleh kawan kepada penghulu terbabit, bagaimanapun video itu tidak merakam beliau ditampar kerana perakam telah menurunkan telefon tersebut.
Jamaludin difahamkan telah membuat laporan polis terhadap penghulu terbabit yang bertindak menampar beliau.
Menurut Hazmi pihak Kanun AMANAH Kelantan akan membantu dan membela Jamaludin jika masalah ini selesai disiasat pihak polis.
“Selepas polis buat siasatan kita akan bawa peguam kita, Abg Din boleh saman malu atau gangguan emosi,” kata Hazmi dalam temubual itu.
Bagi Hazmi, penghulu terbabit tidak sepatutnya bertindak sedemikian kerana negara ini ada undang-undang dan perlembagaan.
“Dia tiada hak walau sebesar zarah untuk pukul Abg Din.
“Saya akan bersama peguam Kanun kita untuk membela Abg Din dan akan bincang apa proses seterusnya.
“Janganlah sekali-kali kita guna undang-undang hutan kerana kita berada dalam Malaysia yang ada undang-undang dan perlembagaan.
“Nasihatkan bila dilantik sebagai penghulu orang kampung, kalau ada masalah bawa berbincang jika ada yang melanggar undang-undang atau bertindak tidak betul buatlah laporan polis,” katanya.