AMANAH Negeri Kedah tetap akan bersama dengan doktor kontrak serta mendesak kerajaan supaya tidak melayan mereka seperti pekerja kelas dua.
Pengerusinya, Datuk Phahrolrazi Mohd Zawawi dalam satu kenyataan beliau berkata, AMANAH Negeri Kedah mendesak kerajaan terutamanya Perdana Menteri, Menteri Kewangan, Suruhanjaya Perkhidmatan Awam, Jabatan Perkhidmatan Awam serta Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengkaji semula semua tuntutan doktor kontrak bersesuaian dengan satu reformasi secara menyeluruh sistem kesihatan negara.
“Pada 26 Julai nanti satu lagi titik hitam sejarah negara akan terlakar apabila seramai 23,000 doktor kontrak akan mengadakan mogok tidak hadir bekerja selama satu hari setelah kerajaan merasakan telah wujud lambakan doktor dalam negara.
“Setakat ini Malaysia mempunyai seramai 71,041 doktor perubatan dan 73 peratus atau 51,912 berkhidmat dengan KKM. Manakala seramai 32 peratus atau 23,071 orang merupakan doktor kontrak dan sejak 2016 hanya 786 orang atau 3.4 peratus sahaja telah diserap ke jawatan tetap.
“Pandemik Covid-19 pula telah membuktikan bahawa dakwaan yang mengatakan wujudnya lambakan doktor tidak benar dan negara masih lagi kekurangan doktor perubatan terutamanya di kawasan luar bandar. Lambakan yang berlaku ini juga adalah ekoran SPA maupun JPA tidak membuka jawatan baharu untuk diisi kerana faktor kewangan, ” ujar beliau.
Sejajar dengan itu ia menyarankan kerajaan supaya segera bertindak dengan menambah baik sistem kesihatan negara dalam semua aspek dan asas penambahbaikan tersebut adalah sumber manusia.
Tambahnya, 23,071 doktor kontrak tersebut adalah aset kepada negara dan mereka berhak dilayan sepertimana pekerja lain dalam negara ini tanpa dilakukan seperti pekerja kelas dua setelah terbukti memperolehi gaji yang kurang, kemudahan yang dinafikan, peluang untuk diserap ke jawatan tetap sangat kecil dan tertutup serta mekanisme yang tidak jelas dan kontrak mereka boleh ditamatkan pada bila-bila masa sahaja.