Langgar SOP: Polis siasat kumpulan Srikandi Bersatu bergelek dangdut

Oleh ARIF ATAN

Polis telah menerima satu laporan berhubung pelanggaran prosedur operasi standard (SOP) membabitkan sekumpulan peserta kursus dipercayai berlaku di sebuah hotel di Shah Alam

Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Baharudin Mat Taib berkata, program itu didapati berlangsung pada April lalu ketika negara berada dalam tempoh pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

“Satu laporan polis mengenai pelanggaran SOP itu kita terima hari ini dan siasatan kini dijalankan mengikut Seksyen 269 Kanun Keseksaan dan Peraturan 17 P.U (A) 225/2021 (Melanggar SOP PKP).

“Jika sabit kesalahan boleh dikenakan kompaun sebanyak RM2,000 ke atas individu manakala RM10,000 ke atas penganjur,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurutnya, kertas siasatan akan dirujuk ke Timbalan Pendakwaraya dalam kadar segera untuk tindakan lanjut.

Baharudin berkata, menerusi laporan, pengadu mendakwa kumpulan itu dilihat sedang menari tanpa memakai pelitup serta tiada penjarakan fizikal dan ia adalah satu pelanggaran SOP.

Terdahulu, rakaman video berdurasi 1 minit dan 34 saat memaparkan sekumpulan anggota Srikandi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) menari lagu dangdut.

Mereka termasuk berpakaian tertera ‘Perikatan Nasional’ dilihat seronok bergelek dalam sebuah dewan tanpa memakai pelitup muka serta tiada penjarakan fizikal.

Sedutan video itu juga memaparkan maklumat program Kursus Pemantapan Pimpinan Srikandi Bersatu di Holiday Inn Shah Alam pada pada 28, 29 dan 30 April lalu.