Speaker salah guna kuasa, PN sangat terdesak elak sebarang undian

Oleh ARIF ATAN

Jawatankuasa Perundangan Pakatan Harapan (PH) menyifatkan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Azhar Azizan Harun hanyalah satu alat pihak Eksekutif demi
melaksanakan agenda mereka.

Jawatankuasa itu berpendapat tindakan Azhar menolak usul dikemukakan Ketua Pembangkang merangkap Ahli Parlimen Port Dickson, Datuk Seri Anwar Ibrahim Ahli Parlimen Beruas, Datuk Ngeh Koo Ham sebagai satu bentuk salah guna kuasa.

Menerusi kenyataan malam ini, Jawatankuasa Perundangan PH berkata, penolakan usul-usul terbabit membuktikan Azhar sebagai seorang Speaker yang tidak berpihak atau bebas (independent) yang mampu menjamin fungsi Parlimen sebagai platform semak dan imbang terhadap Eksekutif.

“Dalam keadaan kini, amatlah jelas dari tindakan Yang di-Pertua Dewan Rakyat bahawa kerajaan Perikatan Nasional (PN) sangat terdesak untuk mengelakkan sebarang undian di dalam Dewan Rakyat, dan Yang Dipertua Dewan Rakyat telah menjadi agen kerajaan untuk memastikan tidak akan ada sebarang pengundian dalam sidang khas ini.

“Tindakan Yang Dipertua Dewan Rakyat menolak usul-usul YB Port Dickson dan YB Beruas
bukan sahaja bermotif politik.

“Ianya juga melanggar hak-hak YB Port Dickson dan YB Beruas di bawah Perlembagaan untuk membawa usul-usul tersebut, seperti yang termaktub di dalam Perkara 150(3) Perlembagaan Persekutuan iaitu untuk membahas dan memutuskan Proklamasi Darurat bertarikh 11 Januari 2021 serta Ordinan-Ordinan yang berkait dengannya,” tegas kenyataan bersama itu.

Jawatankuasa tersebut terdiri daripada tujuh peguam mewakili tiga parti komponen PH iaitu William Leong Jee Keen (MP Selayang, PKR), Mohamed Hanipa Maidin (MP Sepang, AMANAH), Ramkarpal Singh A/L Karpal Singh (MP Bukit Gelugor, DAP), Sivarasa Rasiah (MP Sungai Buloh, PKR), Muhammad Faiz Fadzil (ADUN Permatang Pasir, AMANAH), Fadhlina Sidek (PKR) dan Dr Zulqarnain Lukman (AMANAH).

Untuk rekod, Anwar dan Ngeh pada 12 dan 19 Julai lalu menghantar usul berkaitan Proklamasi Darurat bertarikh 11 Januari dibahas dan diluluskan termasuk Ordinan-Ordinan berkaitan.

Anwar yang juga Pengerusi PH memohon agar Dewan Rakyat membahaskan Proklamasi, Ordinan-Ordinan dan hal-hal berkaitan pengurusan pandemik Covid-19 dalam negara.

Ngeh pula telah memasukkan empat usul iaitu satu untuk mengungkai (annul) Proklamasi Darurat manakala tiga yang lain untuk mengungkai tiga Ordinan khusus dengan membentangkan Ordinan-Ordinan tersebut sebagai Rang Undang-Undang untuk dibahas dan diputuskan dengan atau tanpa pindaan.

“Yang Dipertua Dewan Rakyat telah menolak kesemua usul YB Port Dickson dan YB Beruas
dan enggan membenarkan ianya dimasukkan ke dalam Aturan Urusan Mesyuarat bagi
sidang khas bermula 26 Julai 2021,” kata kenyataan Jawatankuasa Perundangan.

Sehubungan itu, jawatankuasa terbabit berpendapat Azhar telah secara salah menggunakan Peraturan Mesyuarat 11(3) yang membolehkan Perdana Menteri menetapkan urusan-urusan bagi sidang khas ini.

“Peraturan Mesyuarat 11(3) tidak relevan dan telah disalah guna untuk menolak usul-usul tersebut.

“Perdana Menteri sendiri telah menetapkan agenda dengan memasukkan penerangan
Menteri-Menteri dalam semua perkara yang telah dibangkitkan YB Port Dickson dan YB
Beruas, khususnya berkait Proklamasi Darurat dan ordinan-ordinan.

“YB-YB ini tidak mengusulkan sesuatu yang tiada kaitan dengan agenda yang telah ditentukan Kerajaan, dan lebih penting dari itu, yang telah termaktub haknya di dalam Perkara 150(3) Perlembagaan Persekutuan.

“Yang Dipertua Dewan Rakyat telah bertindak dengan tidak terhormat (perverse) dan
beragenda politik dalam menggunakan Peraturan Mesyuarat untuk menafikan hak Ahli-Ahli Parlimen ini di bawah Perkara 150(3) Perlembagaan Persekutuan.

“Yang Dipertua juga telah mendakwa dengan silap bahawa usul-usul YB Beruas tidak menepati Perkara 150(3) walhal usul-usul tersebut amat menepati Perkara tersebut,” tegas Jawatankuasa Perundangan PH itu lagi.