Kelmarin, pesakit Covid-19 saya meninggal dunia. Jantung terhenti (cardiac arrest) ketika dalam posisi telangkup, intubated.
Kelam kabut kami telentangkan dia untuk bantuan pernafasan kecemasan (CPR). Tekanan saluran pernafasan sangat tinggi namun bukan disebabkan tiub tersumbat atau terbengkok.
Memang perubahan ARDS paru-paru beliau sangat teruk dengan tekanan yang tinggi.
Beliau baru awal 40-an. Semenjak kami tahu yang beliau balu dengan anak dua; kami memang sangat berwaspada.
Bayangkan semenjak masuk ICU, kami tidak perasan yang setiap hari kami asyik kemaskini melalui telefon, anak beliau yang baru berumur 15 tahun. Semua sangka bercakap dengan anak dewasa. Sampailah hari saya on call baru tahu.
Beliau tinggal di rumah kuarantin berdua dengan adiknya yang berumur 12 tahun. Kami tanya ada saudara mara lain? Langsung tiada. Tiada datuk nenek. Tiada pakcik makcik. Ayah dah meninggal dunia. Hanya jiran yang baik hati tolong hantar makanan semenjak ibu mereka masuk wad.
Dalam dunia cuma mereka bertiga. Bayangkan.
Jadi, kami lakukan CPR dengan penuh kesungguhan. Terlalu desperate sambil berdoa dalam hati; Tuhan, ampunkan kami semua, tolonglah selamatkan dia. Namun, dia tetap pergi.
Sewaktu saya suruh MO sampaikan berita pada anak beliau pada jam 1 pagi; dalam hati saya tertanya; bagaimanalah budak umur 15 tahun nak uruskan pengebumian ibunya.
Hati saya benar-benar kosong waktu saya mandi selepas doffing. Menangis dalam shower.
Namun, kesedihan itu tidak bertahan lama.
Setengah jam kemudian saya dipanggil masuk ke ICU kerana ada pesakit lain yang berumur 30 tahun tiba-tiba desaturate (paras oksigen darah turun). Tukar tiub, telangkupkan dia. Sibuk sampai ke pagi.
Begitulah keadaan kami. Berapa ramai pakar dan doktor muda menangis kecewa sebab tidak mampu selamatkan pesakit Covid muda. Sekarang umur 20-30 tahun pun boleh meninggal dunia secara tiba-tiba depan mata. Licik sungguh varian baru ini.
Kami sedih namun tidak sempat berduka. Segala keperitan kami simpan jauh di lubuk hati. Simpan, simpan, simpan hingga hati keras dan kebas.
Sampai bila?
Takkan kami lupakan sampai bila-bila, pandemik yang meyatim-piatukan ramai anak-anak ini.