Kira-kira jam 7 pagi tadi, Datuk Seri Abdul Hadi Awang sudah memuat naik Minda Presiden Pas yang bertajuk, “Apabila politik dipisahkan daripada agama”.
Artikel itu antara lain mengingatkan bahawa ahli politik juga ikut rosak bersama apabila politik dianggap tiada kaitan dengan agama.
Ahli Parlimen Marang berkenaan menegaskan hal tersebut menjadi penyakit kronik kepada sekularisme dengan segala ideologinya.
“Sekalipun perubahan atau reformasi dilakukan oleh para pemikir atau golongan yang dinamakan sebagai ahli falsafah dalam kalangan mereka.
“Mereka sering kali menyebutkan tentang keperluan integriti, ‘good governance’ (tadbir urus yang baik), kedaulatan undang-undang dan lain-lain kata slogan yang dicipta dan hanya indah khabar daripada sebutannya.
“Hal ini demikian kerana laksana jasad yang tiada roh yang memandu akal dan ilmu, dan boleh berubah menjadi penipu kerana politik kenegaraan dianggap di luar daripada ilmu Allah SWT dan hukuman-Nya,” tulis Hadi pagi ini.
Artikel panjang sarat petikan surah al-Quran dan sabda Nabi Muhammad itu dimuatnaik beberapa jam sebelum bermulanya hari kedua Sidang Khas Parlimen hari ini.
Duta Khas Perdana Menteri ke Timur Tengah bertaraf menteri berkenaan turut berkata, Islam melaksanakan konsep pengasingan kuasa sejak beberapa abad mendahului sistem sekular, khususnya demokrasi moden yang hampir kepada Islam dan pengaruh tamadunnya dalam aspek pengasingan kuasa.
“Walaupun begitu, demokrasi tetap mengalami kelemahan yang ketara kerana tiada kawalan dan pengawasan agama.
“Rasulullah SAW menunjukkan teladan pemimpin yang adil dalam pelaksanaan konsep pengasingan kuasa dengan tidak menyalahgunakan kedudukannya sebagai pilihan Allah SWT, apabila menangani pertelingkahan dengan rakyat biasa melalui proses mahkamah.
“Seterusnya, amalan tersebut diikuti oleh para Khulafa’ al-Rasydin dan mereka yang mengikuti contohnya,” kata Hadi lagi.