PAC cadang kerajaan segera tetapkan harga siling vaksin

Oleh ARIF ATAN

Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) mencadangkan agar kerajaan menetapkan harga siling bagi pemvaksinan Covid-19 apabila vaksin Sinovac dijual kepada rakyat bermula Ogos depan.

Pengerusinya, Wong Kah Woh berkata, penetapan harga siling itu serta kos yang dikenakan oleh klinik atau hospital swasta adalah amat perlu supaya harga pemvaksinan adalah pada tahap wajar dan tidak membebankan rakyat.

“Jawatankuasa ini juga mengambil maklum harga untuk pemvaksinan Covid-19 sudah mula dipromosikan dan harga yang ditetapkan adalah tinggi berbanding dengan harga yang sepatutnya,” katanya dalam satu kenyataan semalam.

Mengulas mengenai prosiding Perolehan Vaksin Covid-19 dan penggunaannya terhadap rakyat Malaysia, Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Khairy Jamaluddin dilaporkan telah hadir buat kali kedua untuk bertemu dengan Jawatankuasa PAC.

PAC akan meneruskan prosiding berhubung isu tersebut pada hari ini dengan memanggil Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz.

Wong memaklumkan, Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Adham Baba bersama Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah pula akan hadir minggu hadapan bagi memberikan keterangan berhubung prosiding yang sama.

Wong Kah Woh