Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail (PH-Kulim-Bandar Bharu) menegaskan tindakan polis terhadap doktor yang terbabit dalam demonstrasi Hartal Doktor Kontrak harus dihentikan.
Beliau berkata, hal tersebut dibimbangi akan merosakkan semangat serta moral pasukan doktor berkenaan, yang sudah pun letih dari segi fizikal dan mental.
Menurutnya, Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba sudah pun memberi jaminan tindakan tidak akan diambil kepada doktor yang menyertai demonstrasi itu.
Sehubungan itu, beliau meminta pihak berkuasa menjelaskan tindakan polis mengambil keterangan 12 doktor kontrak di Pusat Kuarantin dan Rawatan COVID-19 (PKRC) Bersepadu 2.0 di Taman Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS), Serdang, awal pagi tadi.
“Satu penjelasan tuntas harus diberikan. Dalam lingkungan hak mereka, mereka membuat tuntutan, menguar-uarkan. Tiada kekecohan dan tidak abaikan kepentingan pesakit.
“Menteri bagi jaminan tidak akan ambil tindakan. Alih-alih jam 12 tengah malam hingga 4 pagi, soal siasat dibuat dalam MAEPS dan peguam tidak dibenarkan masuk kerana tiada kebenaran,” katanya ketika perbahasan pada Sidang Khas Dewan Rakyat, hari ini.
Turut membangkitkan isu sama Ramkarpal Singh (PH-Bukit Gelugor) ketika mencelah sesi perbahasan berkenaan.
Beliau menyifatkan tindakan tersebut boleh memberi tekanan mental kepada doktor kontrak berkenaan, selain bercanggah dengan beberapa undang-undang seperti Peraturan-Peraturan Lokap 1953.
Terdahulu, seorang peguam dan aktivis hak asasi manusia mendakwa, seramai 12 doktor kontrak yang menyertai perhimpunan aman Hartal Doktor Kontrak di PKRC MAEPS, 26 Julai lalu, diambil keterangan oleh pihak polis selama empat jam, bermula 11.45 malam tadi.