Azhar, Idrus juga kena letak jawatan

Oleh ARIF ATAN

Tindakan kerajaan membatalkan semua Ordinan Darurat tanpa perkenan Yang di-Pertuan Agong bercanggah dengan Perkara 150 (2B) dan (3) Perlembagaan Persekutuan, kata
Ahli Jawatankuasa Biro Undang-undang (KANUN) AMANAH, Wan Anwar Wan Ibrahim.

Pengarah Komunikasi AMANAH Selangor itu berkata, jelas tindakan yang telah dilakukan oleh kerajaan Perikatan Nasional (PN) itu bertentangan dengan prinsip Perlembagaan serta membelakangi Seri Paduka Baginda sebagai Ketua Negara.

“Saya juga beranggapan bahawa Speaker Dewan Rakyat, Datuk Azhar Azizan Harun juga bertanggungjawab apabila seolah-olah melindungi menteri berkenaan daripada memberikan penjelasan yang tuntas dan segera walaupun berkali-kali didesak oleh Ahli-ahli Dewan.

“Beliau (Azhar) harus meletakkan jawatan kerana telah mencemarkan kemuliaan institusi Dewan Rakyat atau berdepan tindakan diketepikan di bawah Perkara 57 Perlembagaan,” kata peguam berkenaan dalam kenyataan hari ini.

Dalam masa sama, Wan Anwar juga berpendapat Peguam Negara, Tan Sri Idrus Harun turut gagal memberikan nasihat yang betul kepada kerajaan.

Oleh itu, Idrus yang juga abang kepada Azhar patut meletakkan jawatan sepertimana kehendak Perkara 145 Perlembagaan.

“Bagi Perdana Menteri, Tan Sri Mahiaddin Md. Yasin, sudah jelas bahawa beliau telah gagal sepenuhnya di bawah prinsip pertanggungjawaban bersama (collective responsibility) dan wajib melepaskan jawatannya atau berdepan risiko dipecat oleh Tuanku Agong sepertimana yang diperuntukkan oleh Perkara 40 Perlembagaan,” tegasnya lagi.