Kerajaan Perikatan Nasional (PN) yang begitu nekad mengumumkan pembatalan Ordinan Darurat tanpa perkenan Yang di-Pertuan Agong perlu berundur, kata Pensyarah kanan Sains Politik Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Profesor Datuk Dr Mohammad Agus Yusoff.
Beliau menegaskan kerajaan yang baik ialah kerajaan yang mendukung keluhuran undang-undang dan berintegriti.
“Dalam keadaan sekarang, saya melihat ada empat pilihan: Semua menteri kerajaan PN meletakkan jawatan, bubar Dewan Rakyat, Agong lantik PM baharu setelah pembangkang berjaya yakinkan Baginda Agong mempunyai majoriti, dan Baginda Agong mengisytiharkan Mageran.
“Kerajaan ini perlu pergi. Ternyata darurat yang bertujuan untuk mengatasi pandemik gagal. Rakyat kecewa dengan cara pengurusan Covid-19.
“Rakyat bertanya sampai bila tidak bekerja, berapa lama lagi harus duduk di rumah, bagaimana nasib hidup mereka seterusnya, berapa lama lagi masa untuk mengurangkan kes yang meningkat ini?
“Saya tidak nampak kerajaan PN ada upaya untuk menjawab positif pertanyaan rakyat di atas,” tegasnya hari ini.
Agus turut mengakui tidak menyangka akan menempuh satu lagi krisis Perlembagaan melibatkan raja-raja Melayu selepas 1983 dan 1993.
“Berbeza dengan krisis Perlembagaan sebelumnya, krisis kali ini adalah kerana kerajaan PN mengumumkan pembatalan Ordinan Darurat tanpa terlebih dahulu mendapat perkenan Baginda Agong sepertimana peruntukan Perkara 150 (3).
“Begitu nekad kerajaan PN mengumumkan pembatalan ordinan tanpa perkenan baginda Agong.
“Untuk apa dibuat pengumuman tanpa mengikut prosedur Perlembagaan yang betul?” soalnya.
Menurutnya, kerajaan PN jelas telah melakukan pembohongan besar dan mengetepikan prinsip Perlembagaan serta tidak menghormati institusi diraja.
“Ini boleh dikira sebagai penderhakaan terhadap Agong, terhadap Perlembagaan, memberi salah nyata palsu kepada Dewan Rakyat, mengelirukan Dewan Rakyat, dan membohongi rakyat Malaysia keseluruhannya.
“Salah laku sebegini mempunyai kesan undang-undang. Ada yang mentafsirkannya sebagai kesalahan yang boleh disiasat (sekurang-kurangnya) di bawah Seksyen 124B Kanun Kesiksaan kerana merosakkan demokrasi (jikapun tidak di bawah seksyen yang lebih keras dari itu),” katanya lagi.