Mahkamah Tinggi Shah Alam membenarkan notis kebankrapan terhadap Muhammad Sajjad bin Kamaruz Zaman atau Nur Sajat diserahkan secara penyampaian ganti melalui notis iklan dan penampalan berikutan kegagalan usahawan tersebut membayar penghakiman sebanyak RM200,000.00 kepada bekas stokis utama beliau iaitu OWA Resources seperti yang diputuskan Mahkamah Rayuan April lalu.
Dua plaintif dari OWA Resources iaitu Nurwati binti Hussin dan Mohammed Syakir bin Hussin berkata notis iklan dan notis tampal telah pun dibuat minggu ini dan pihaknya belum menerima sebarang affidavit membantah notis kebankrapan itu oleh pihak Muhammad Sajjad.
“Pihak anak guam tidak dapat menjejaki lokasi sebenar defendan. Oleh itu, kami telah mendapatkan kebenaran mahkamah untuk menyerahkan notis secara iklan dan menampal notis di mahkamah dan di depan rumah defendan,” kata Nurul Hafidzah Hassan, peguam utama OWA Resources dari firma guaman NHA Advocates & Solicitors.
“Pada tahun lepas anak guam berjaya membekukan akaun bank defendan tetapi hanya dapat memperoleh RM5,000.00 iaitu baki terkini dari akaun tersebut.
“Ini dilakukan melalui tindakan garnisi terhadap kesemua akaun defendan-defendan. Berikutan kegagalan defendan membayar penghakiman mahkamah, anak guam tiada pilihan lain melainkan membankrapkan defendan,” tambah Nurul Hafidzah.
Mengikut penghakiman Mahkamah Rayuan, Nur Sajat gagal dalam rayuannya bagi membatalkan keputusan Mahkamah Tinggi Shah Alam yang memerintahkan usahawan itu membayar ganti rugi sebanyak hampir RM200,00.00 kepada OWA Resources.
Difahamkan, pihak Nur Sajat ada membuat cadangan awal bulan ini untuk membayar ganti rugi tersebut secara ansuran sebanyak RM3,000.00 sebulan sehingga selesai pembayaran penuh tetapi pihak plaintif tidak bersetuju dengan cadangan tersebut.
OWA Resources sebelum ini cuba menyerahkan notis bankrapsi kepada Muhammad Sajjad sebanyak tiga kali termasuk percubaan menyerahkan surat temujanji dan juga percubaan-percubaan lain. Namun, oleh kerana semua percubaan serahan tersebut gagal kerana Muhammad Sajjad tidak dapat diketemui maka plaintif telah memfailkan notis tersebut untuk serahan secara alternatif iaitu melalui notis iklan di surat khabar, di mahkamah dan juga di depan rumah defendan.
Berdasarkan notis berkenaan, Muhammad Sajjad perlu membayar RM113,327.00 dengan lima peratus kadar faedah setahun atas jumlah baki dari 13 September 2018 (tarikh pemfailan writ saman) sehingga 3 Mac 2021 (tarikh notis kebankrapan) serta kos mahkamah sebanyak RM70,000.00 dan setakat 3 Mac 2021 jumlah itu menjadi RM197,329.87.
Akta Insolvensi 1967 membenarkan prosiding kebankrapan dimulakan ke atas mana-mana individu yang gagal membayar penghakiman melebihi RM100,000.00
Oleh itu, OWA Resources memfailkan notis kebankrapan terhadap Muhammad Sajjad kerana masih gagal membayar jumlah berkenaan sehingga kini.
Nurwati, Pengasas OWA Resources yang merupakan bekas stokis produk bengkung dan girdle Muhammad Sajjad memaklumkan yang krisis undang-undang dan perniagaan tersebut menjadi pengajaran kepada syarikatnya agar lebih berhati-hati dalam memilih rakan perniagaan pada masa hadapan.
Beliau akan memastikan untuk melakukan pemeriksaan wajar (due diligence) melalui peguam korporat yang telah dilantik sebelum menjalankan sebarang kerjasama perniagaan dengan mana-mana pihak selepas ini.