Semua MP kena muafakat pilih pengganti Mahiaddin

Oleh NASUHA RAHMAN

Demi kepentingan seluruh rakyat Malaysia dalam suasana kritikal ini, Senator Husam Musa mencadangkan semua Ahli Dewan Rakyat mencari muafakat untuk memilih pengganti kepada Tan Sri Mahiaddin Md Yasin.

Dalam kenyataannya, Ahli Dewan Rakyat hendaklah mencari muafakat untuk memilih salah seorang dari anggotanya yang dikira paling munasabah untuk memimpin negara melepasi semua krisis yang dihadapi oleh Malaysia bagi menggantikan Perdana Menteri sedia ada.

Husam berkata, kabinet baru yang akan dibentuk nanti hendaklah tidak sama sekali menyenaraikan mana-mana anggota kabinet yang telah terbabit atas kekhilafan dan kedegilan mereka meneruskan kekhilafan.

Tambahnya, Duli Yang Maha Mulia Yang di-Pertuan Agong dan Duli-Duli Yang Maha Mulia Raja-Raja Melayu dan Yang di-Pertua Negeri-Negeri juga perlu menolak sebarang langkah pembubaran Parlimen dan Dewan-Dewan Undangan Negeri pada sebarang masa sehingga ancaman pandemik Covid 19 ini dapat ditangani sepenuhnya dan tidak lagi mendatangkan mudarat kepada rakyat negara ini.

“Demi keharmonian dan kerukunan bernegara Negara Malaysia buat masa kini dan masa-masa mendatang, adalah sangat penting kehormatan Institusi-Institusinya dipelihara dengan sebaik-baiknya.

“Khususnya Institusi KDYMM Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong dan Parlimen sebagai tonggak negara,” katanya.

Jelas Husam, berikutan kegagalan Mahiadin Yasin membuktikan sokongan majoriti Ahli Dewan Rakyat melalui proses (persidangan Dewan Rakyat) sebagai mana selayaknya sejak beliau menjawat jawatan sebagai Perdana Menteri – diikuti siri-siri membelakangi peranan dan kehormatan Parlimen yang lain yang membawa kepada teguran Yang di-Pertuan Agong yang lain sebelum ini yang sudah termaklum kepada seluruh rakyat.

“Pelanggaran terhadap fungsi Institusi Parlimen berkaitan ehwal Proklamasi Darurat dan Ordinan-Ordinan yang berkaitan.

“Terakhir, Institusi tertinggi negara iaitu Institusi Yang di-Pertuan Agong turut menjadi pertaruhan,” katanya lagi.

Terkeluar sama ada pandangan dan pegangan KDYMM Seri Paduka Yang di-Pertuan Agong terkhilaf atau tidak katanya seharusnya Institusi ini tidak wajar sama sekali dipertaruhkan dalam kemelut politik negara pada sebarang masa untuk menjamin ketenteraman negara ini dan penghormatan yang berterusan oleh semua pihak terhadap tonggak kestabilan negara ini.

“Apa lagi, berdasarkan Warqah Diraja Duli Yang Maha Mulia Yang di-Pertuan Agong itu, pihak KDYMM Yang di-Pertuan Agong sama sekali tidak terkhilaf tetapi pihak YAB Perdana Menteri dan kabinet beliau nyata terkhilaf.

“Geseran dengan Institusi Yang Dipertuan Agung ini tidak harus sama sekali diperpanjangkan oleh Kerajaan.

“YAB Perdana Menteri dan seluruh anggota kabinetnya wajib meletakkan jawatan serta merta demi memelihara kehormatan Institusi Yang di-Pertuan Agong serta akur dengan kekhilafan yang telah dilakukan,” katanya.