PM, menteri segera berundur, serah pemerintahan kepada Agong

Oleh NASUHA RAHMAN

Veteran Umno Tengku Razaleigh Hamzah meminta Perdana Menteri dan menteri-menteri meletakkan jawatan dan segera berundur daripada pemerintahan negara.

Beliau mengsyorkan kuasa pemerintahan negara diserahkan kepada Tuanku Agong bagi baginda yang menentukan masa depan negara ini susulan ketidaktentuan kerajaan yang ada sekarang.

Ahli Parlimen Gua Musang itu juga berkata dengan membuang halangan ini mungkin keadaan ekonomi bertambah baik dan mungkin strategi baru boleh digunakan untuk kerajaan mengakhiri pandemik Covid-19 yang mengancam keselamatan rakyat.

“Berapa ribu lagi nak tunggu rakyat mati, atau bunuh diri sebelum satu tindakan efektif boleh dilakukan.

“Dengan lockdown yang diamalkan sekarang sukar untuk rakyat hendak berurusan dalam mencari dan mendirikan kehidupan mereka seharian,” katanya dalam satu klip video di facebooknya malam ini.

Tengku Razaleigh juga merayu agar mereka yang berada dalam kerajaan insaf dengan apa yang mereka lakukan serta memberi peluang bukan yang menganggotai kabinet tetapi rakyat agar kehidupan mereka lebih baik dan sempurna.

Situasi politik negara tidak terkawal apabila Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menzahirkan kekecewaannya terhadap kerajaan yang membatalkan Ordinan Darurat tanpa perkenan baginda.

Isu ordinan darurat itu mula menjadi perhatian ramai apabila pada 26 Julai lalu Takiyuddin mengejutkan Dewan Rakyat dengan mengumumkan ia sudah dibatalkan sejak 21 Julai.

Semalam Istana Negara memaklumkan Agong belum memberi perkenan untuk pembatalan tersebut dan Takiyuddin sudah mengelirukan Dewan Rakyat dengan pengumuman tersebut.

Pihak kerajaan pula – semasa membalas kenyataan Istana Negara – memaklumkan jemaah menteri sudah menasihatkan Agong mengenai pembatalan berkenaan dan mengikut perlembagaan baginda perlu menerima nasihat tersebut.