‘Benteng terakhir’ dirempuh pemberontakan derhaka kerajaan Mahiaddin

Oleh ARIF ATAN

Krisis Perlembagaan yang berlaku hari ini tercetus apabila Ordinan Darurat yang sepatutnya dibawa ke Parlimen seperti mana yang dititahkan oleh Yang di-Pertuan Agong supaya dibahaskan, dibatalkan secara pintu belakang.

Sesuai dengan amalan demokrasi berparlimen, apa yang dibawa untuk kelulusan Parlimen perlu dibahaskan terlebih dahulu oleh wakil-wakil rakyat.

Memang semua yang di bawa ke Parlimen perlu dibahas bukan untuk maklum sahaja.
Itu yang di minta Tuanku Agong. Masalahnya, kerajaan Tan Sri Mahiaddin Md Yasin enggan membenarkannya.

Pengumuman Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang Undang), Datuk Takiyuddin Hassan, yang telah memaklumkan YDPA perkenan pembatalan Ordinan Darurat di Parlimen pada 26 Julai, telah dinafikan oleh YDPA.

Perdana Menteri pula menyanggah dengan kasar kenyataan Istana Negara yang diikuti dengan kenyataan dari Tuanku Agong mengulangi tiada perkenan persetujuan telah diberi.

Ini adalah pertembungan luar biasa di antara Tuanku Agong yang mempertahankan hak rakyat dan kerajaan Mahiaddin Yassin yang pekakkan telinga untuk membenarkan suara rakyat dibawa ke parlimen.

Apa yang lebih luar biasa adalah tindakan tidak beradab kerajaan Melayu Islam yang menyanggah secara keras titah Agong dengan penuh ironi.

Pertamanya, kerajaan Melayu Islam ini telah melanggar adat Melayu Islam sendiri dengan memilih pertembungan terbuka dengan Istana setelah secara terang cuba berbohong di siang hari mendapat perkenan Tuanku Agong.

Ironinya seorang penulis media sosial yang bukan berketurunan Melayu, dan bukan juga beragama Islam, telah menasihatkan kerajaan  supaya “dont wash dirty linen in public” supaya perkara kelemahan dalaman kerajaan jangan bertikai secara terbuka.

Orang bukan Melayu Islam lebih memahami adat serta akhlak terpuji daripada mereka yang menggelar diri pendokong nilai Melayu Islam.

Ironi keduanya apabila Takiyuddin Hassan yang juga merupakan Setiausaha Agung Pas berhujah justifikasi tidak perlu perbahasan Ordinan Darurat di Parlimen, beliau telah melambaikan dua buku kecil peraturan Parlimen peninggalan pengaruh penjajah British.

Takiyuddin minggu lepas melambaikan dua buku kecil peraturan Parlimen peninggalan pengaruh penjajah British.

Pas dahulu mengutuk sekeras-kerasnya undang-undang dan peraturan penjajah dan menuntut kembali kepada Islam sepenuhnya.

Hari ini buku pengaruh peninggalan penjajah British itulah yang diguna untuk menyerang Agong yang merupakan ketua Agama Islam Malaysia.

Apa telah terjadi kepada janji Pas untuk menjadikan al-Quran sebagai sumber asas segala perundangan dan peraturan seperti RUU 355, hudud, isu judi dan arak?

Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang sejak bertahun-tahun menghasut yang musuh Islam beragama lain anti Raja Raja dan pentingnya umat Islam Melayu taat setia kepada Ulul Amri kita iaitu Raja Raja kita.

Lebih menampakkan hipokrasi, setelah Mahiaddin menyanggah secara terbuka dan biadap kenyataan Istana Negara, Parti Islam se Malaysia – Pas – secepat kilat kurang daripada 24 jam mengisytiharkan berdiri teguh bersama Mahiaddin bertembung dengan Istana.

Parti bukan Melayu Islam lain seperti MCA dan MIC, yang dahulunya Pas tuduh memusuhi Islam hanya menyatakan sokongan kepada Mahiaddin selepas dua hari kemudian.

Pas telah menjadi contoh yang mendahului untuk MCA dan MIC mengikuti dalam penderhakaan kepada instituisi Raja Raja Melayu kita yang ingin memelihara hak rakyat bersuara di Parlimen.

Pelbagai cara dan usaha kerajaan Mahiaddin yang cuba menegakkan benang yang basah, dan cuba menutup peluang suara rakyat didengari di Parlimen semasa pandemik Covid-19 makin mengganas negara dan dunia.

Mengekalkan kerajaan yang gagal oleh mereka lagi penting dari nyawa rakyat yang dikorbankan demi kerakusan kuasa.

Undang-undang juga telah diseleweng secara terang terangan, Parlimen yang asalnya patut “bersidang” selama lima hari ditutup rapat tidak dibenarkan bersidang esok hari semasa wabak Covid-19 makin mengganas meragut nyawa tanpa perancangan teratur oleh kerajaan hari ini.

Kini Raja-Raja Melayu kita pula, yang merupakan benteng terakhir yang ingin membenarkan suara rakyat didengari di Parlimen, sedang dirempuh dengan pemberontakan derhaka penuh biadap serta kasar oleh kerajaan Mahiaddin.

Semoga Allah selamatkan Malaysia dari malapetaka yang lebih besar.

*SENATOR DATUK RAJA KAMARUL BAHRIN SHAH merupakan Ahli Jawatankuasa AMANAH Nasional dan Pengerusi AMANAH Negeri Terengganu.