Segera ambil vaksin, ramai ibu hamil Covid-19 kritikal menanggung azab

Oleh ARIF ATAN

Antara golongan yang sangat saya kasihan dalam gelombang terkini pandemik Covid-19 ini ialah ibu mengandung.

Mereka mulanya tidak dimasukkan dalam program vaksinasi Covid-19. Setelah beberapa bulan, barulah mereka dibenarkan ambil vaksin; namun vaksin tertentu pula.

Baru-baru ini barulah mereka dibenarkan ambil semua jenis vaksin Covid-19. Lama mereka menunggu dalam debaran dan kesamaran.

Dah berapa ramai ibu mengandung dijangkiti Covid-19 kritikal kami uruskan setelah Hospital Sungai Buloh mulai penuh dan tidak dapat lagi menerima rujukan luar.

Ada seorang ibu mengandung 25 minggu datang dengan Covid-19 kategori 4. Itulah juga kandungan yang amat dinanti setelah beberapa tahun mencuba.

Hari pertama saja mampu pakai topeng oksigen tercungap-cungap. Masuk hari kedua sudah tidak mampu bertahan; terpaksa kami intubate dan bawa ke unit rawatan rapi (ICU). Itu pun dah potong giliran pesakit kritikal lain.

Pesakit itu terpaksa kami telangkupkan setelah diintubate dan sambung ke mesin pernafasan. Bukan sekali telangkup tapi empat kali semuanya. Setiap kali telangkup ambil masa 16 hingga 20 jam.

Sebaik saja ditelentangkan, paras oksigen beliau menurun dengan laju. Terpaksa dilumpuhkan lagi kerana jika dibiar bercampur usaha bernafas sendiri, lebih teruk desaturasi dan biru birat seluruh tubuh. Tidak sampai sejam dua telentang, terpaksa ditelangkupkan semula.

Setelah tiga hingga empat hari mencuba tanpa nampak cahaya akhirnya kami terpaksa keluarkan bayi beliau. Jika tidak, kami akan kehilangan dua nyawa sekaligus. Sekurang-kurang kita cuba selamatkan ibu.

Jadi, pesakit tersebut menjalani pembedahan kecemasan caesarean dan bayinya segera dibawa ke ICU neonatal; pun perlu intubasi juga.

Sebaik selesai pembedahan, kami bawa ibu kembali ke ICU dengan harapan bantuan pernafasan mesin lebih baik apabila beban rahim yang gravid dikeluarkan. Beberapa jam saja oksigen beliau stabil. Tidak lama kemudian oksigen turun perlahan-lahan. Paru-paru beliau sudah teruk dan keras dijangkiti virus.

Terpaksa kami telangkupkan beliau buat kali kelima. Bayangkan baru tiga jam dibedah, dah kami terpaksa sendal dan himpit kawasan luka bedah. Perit ke perit? Kami pun tumpang ngilu.

Beliau bukanlah pesakit pertama dan terakhir kami terpaksa buat begitu. Dah berbelas ibu mengandung Covid-19 kritikal terpaksa melalui azab yang sama. Dan berpuluh lagi di hospital lain.

Sebilangan besar berjaya diselamatkan. Ada yang tewas dan dipanggil bertemu Tuhan. Begitu juga dengan bayi-bayi mereka. Ada yang tewas dalam rahim lagi kerana kekurangan oksigen ibu. Ada yang tewas kemudiannya.

Mana-mana ibu mengandung yang sudah dapat tarikh vaksin; segeralah pergi. Usahakan dapat vaksin segera lebih-lebih lagi jika anda juga frontliner. Ini bukan masa untuk ragu-ragu dan fikir kesan sampingan kecil.

Kerana ada bahaya lebih besar menunggu untuk meragut nyawa anda dan bayi yang dikandung. Fikir untuk hidup dulu. Lain fikir kemudian.

Saya bersyukur beberapa jururawat saya yang mengandung serta positif Covid-19 baru-baru ini sihat saja. Mungkin juga asbab mereka sudah lengkap divaksinkan.

? Gambar hiasan: Cara ibu mengandung dijangkiti Covid-19 yang sedar ditelangkupkan untuk bantu pernafasan. Cara ibu mengandung kritikal yang disambung ke mesin pernafasan dan ditelangkupkan lain pula rupanya. Belum lagi ibu kritikal yang baru dicaesar.