Pada 27 Julai lalu, Presiden Tunisia, Kais Saied memecat Perdana Menteri, Hichem Michechi dan Kabinetnya kerana kegagalan mereka menangani wabak Covid-19 serta mengatasi kejatuhan ekonomi negara.
Beliau juga menggantung Parlimen dengan menyatakan bahawa banyak Ahli Parlimen, termasuk menteri terlibat dengan korupsi dan penggelapan wang negara.
Perdana Menteri dilaporkan menerima tindakan Presiden dan menyerahkan kuasa eksekutif pada ketua negara itu. Namun, Speaker Parlimen Rashid Ghannouchi membantah tindakan presiden itu, yang dianggap melanggar perlembagaan.
Menurutnya, sebarang pemecatan Perdana Menteri dan kerajaan hendaklah setelah dirundingkan dengan Perdana Menteri dan Speaker. Dalam sistem Tunisia, Perdana Menteri dilantik oleh Presiden atas cadangan daripada gabungan parti yang yang memperolehi kerusi terbanyak di Parlimen.
Usaha Rashid untuk memasuki Parlimen telah dihalang tentera yang mengunci pagar. Angkatan tentera dan Kesatuan Buruh menyokong tindakan presiden itu. Speaker dan banyak pemerhati demokrasi menyifatkan pemecatan Perdana Menteri itu sebagai rampasan kuasa.
Mereka bimbang ia akan menamatkan demokrasi yang baru Tunisia kecapi selama 10 tahun. Amerika Syarikat (AS) dan Kesatuan Eropah juga menyatakan keprihatinan mereka.
Lebih-lebih lagi apabila pengarah penyiaran negara turut dipecat dan pejabat Al-Jazeera diserbu polis. Maka terdapat tanda-tanda adanya kecenderungan untuk menyekat kebebasan akhbar dan pelanggaran hak asasi manusia.
Jika tindakan ini semakin berleluasa, maka dibimbangi Tunisia akan kembali kepada keadaan dahulu, iaitu pemerintahan autokratik.
Suasana politik sebelum ini adalah persaingan pengaruh antara Presiden, Perdana Menteri dan Speaker. Presiden dan Perdana Menteri tidak berparti. Kedua-duanya bertanding sebagai calon Bebas.
Tetapi presiden masa bertanding dahulu mendapat sokongan An-Nahdhah dan parti sekular termasuk golongan kiri. Speaker pula adalah dari parti An-Nahda. Rashid adalah pengasasnya.
Sementara di kalangan rakyat, persaingan adalah antara golongan Islamis dan sekular. Terdapat pelbagai parti Islam tetapi yang terbesar adalah An-Nahdha yang disokong kebanyakan rakyat dan memenangi pilihan raya.
Golongan sekular yang juga terdiri daripada pelbagai parti termasuk dari kalangan kiri berada di sekitar Tunis. Terdapat 100 parti. Tidak ada parti yang boleh memerintah sendiri. Mereka perlu berpakat dengan pihak lain.
Tetapi An-Nahdha dianggap parti Islam sederhana yang boleh diterima oleh Barat. Ia dianggap lebih sederhana daripada Ikhwanul Muslim yang ada di kebanyakan negara negara Arab lain.
An-Nahda sudah menyatakan akan kekal struktur sekular sedia ada dan tidak menjadikan syariah sebagai sumber penggubalan undang-undang utama. Tindakan An-Nahdha itu dibantah golongan konservatif. Kerajaan yang disertai An-Nahdhah turut diganggu oleh kumpulan pengganas yang menyerang pada tahun 2015.

Ada segolongan rakyat yang mahukan rejim lama pimpinan yang bersifat dikembalikan. Mereka turut meletakkan calon bagi pilihan raya presiden dan parlimen. Tetapi mereka kalah.
Mereka ini dikatakan mendapat sokongan dan bantuan dari negara Arab lain yang dipercayai tidak mahu demokrasi berjaya di Tunisia. Mereka bimbang jika Tunisia berjaya, fahaman demokrasi ini alkan merebak ke negara lain.
Jadi, penentangan terhadap An-Nahdha bukan atas sebab ideologi atau agama, tetapi adalah kerana kegagalan mereka mentadbir. Rakyat yang 10 tahun dahulu menyokong An-Nahdha hilang kepercayaan. Tetapi bukan saja An-Nahdha, ahli politik lain turut mengalami kemerosotan kepercayaan.
Terperangkap
Presiden Saied dipilih dalam pilihan raya tahun 2018. Beliau dianggap sebagai tokoh yang tidak bersama dengan mana-mana parti politik. Keadaan beliau itu diharap boleh menjadi penyatu di samping dapat mengelak diri daripada terperangkap dengan perbalahan antara parti politik.
Menurut presiden itu, tindakannya memecat perdana menteri adalah menepati kehendak rakyat kerana sebelum itu, demonstrasi-demonstrasi diadakan di Tunis, ibu negara sebagai membantah kerajaan kerana kegagalan mereka. Demonstrasi juga diadakan di depan ibu pejabat An-Nahdha.
Sentimen orang ramai ialah mereka hilang sabar kerana setelah 10 tahun demokrasi diwujudkan, tiada perubahan yang baik berlaku di negara itu, khususnya ekonomi. Malah keadaan bertambah buruk.
Pada tahun 2011, dalam keadaan ekonomi semakin merosot dengan rakyat menanggung kesusahan, orang ramai turun ke jalan raya dan mendorong kepada kejatuhan pemerintahan autokratik, maka bermulalah gelombang apa yang disebut sebagai Musim Bunga Arab atau Arab Spring di dunia Arab.
Harapan tinggi diletakkan terhadap Tunisia yang demokratik. Tetapi keadaan ekonomi negara itu sememangnya sukar diatasi, tidak kiralah sesiapa yang mentadbir. Tunisia bergantung besar pada pelancongan.
Pada tahun 2015, pengganas bersifat kejam yang dikaitkan dengan Islamic State membunuh pelancong dan memusnahkan pusat-pusat pelancongan, termasuk Muzium Negara.
Akibatnya, ekonomi Tunisia jatuh teruk dan infrastruktur tidak dapat dibina. Pengangguran meningkat dan ramai orang muda khususnya yang berpendidikan baik berhijrah ke Eropah.
Gejala korupsi dan datangnya Covid-19 pada tahun lalu hanya memburukkan lagi keadaan yang sudah teruk. Kerajaan yang ditubuhkan sejak kebangkitan 2011 bukanlah stabil. Sejak itu, sudah ada sembilan perdana menteri. Hechim yang kena pecat ini pun dilantik pada September 2020.
Kegagalan Tunisia membawa banyak implikasi. Ia juga bermakna keseluruhan harapan Arab Spring musnah. Iaitu harapan oleh Barat dan dunia supaya negara-negara Arab menjadi demokratik dan makmur.
Arab Spring merebak dari Tunisia ke Libya, Mesir, Yaman, Syria dan Bahrain. Tidak ada satupun yang berjaya. Maka diharapkan Tunisia sebagai pencetus Arab Spring dapat berjaya dan menjadi negara tunggal Arab yang demokratik.
Tetapi jika Tunisia gagal, maka timbul tanggapan bahawa sememangnya orang Arab tidak sesuai dengan sistem demokrasi. Satu lagi tanggapan ialah para pemimpin Arab tidak mampu mentadbir negara dengan baik.
Negara Arab yang dianggap berjaya adalah seperti Jordan, Oman, Arab Saudi, Emiriah Arab Bersatu, Kuwait, Bahrain dan Qatar. Semuanya diperintah oleh raja dan kebanyakannya kaya minyak. Tambahan pula mereka semua adalah sekutu AS.
Sementara republik-republik yang pernah melakukan eksperimen nasionalis kiri telah gagal, malah ada yang hancur lebur akibat peperangan. Dari Syria, Iraq, Yaman, Sudan, Mesir, Libya. Lubnan dan Algeria.
Dalam demokrasi Arab Spring, umumnya yang akan menang adalah parti Islamis seperti yang berlaku di Mesir. Rakyat terutama di luar bandar memilih parti Islam kerana soal keagamaan.
Keadaan itulah yang hendak dihalang oleh regim-regim monarki. Ancaman nasionalis kiri pada 1960-an telah berjaya diatasi. Pada 2000-an, mereka juga sudah menghalang sebarang kebangkitan parti Islamis. Maka kedudukan status quo dapat dikekalkan.
Apakah yang mampu Presiden Saied lakukan? Menurut beliau, tindakannya itu tidak melanggar perlembagaan. Kerajaan baharu akan dibentuk dalam masa 30 hari. Beliau turut turun berjumpa dengan orang ramai yang mengalu-alukan tindakannya itu.
Tetapi keesokannya penyokong An-Nahdha turut turun ke jalan raya memaksa polis memisahkan keduanya untuk mengelak pergaduhan. Perhimpunan telah diharamkan tetapi perpecahan antara rakyat Tunisia dijangka akan berlaku. Masalah ekonomi tetap tidak akan dapat diselesaikan.
